Takfir: Husam ambil alih tugas Mahathir?

MASYARAKAT umum mengetahui bahawa tokoh yang paling terkehadapan menuduh PAS mengkafirkan orang-orang Islam yang tidak menyokong PAS adalah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Tajuk debat PAS-Umno yang Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri rancang untuk langsungkan pada 11 November 1984 dahulu pun adalah “PAS Mendakwa Bahawa Ahli-Ahli Umno Adalah Kafir…”
 
Malah, tulisan Tun Dr Mahathir di dalam blog beliau pada 18 September 2017, bertajuk “Kafirkah Saya?”, juga masih menyebut bahawa “PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong PAS”.
 
Hari ini saya terkejut bila secara tiba-tiba sahaja Naib Presiden PAN yang juga bekas Naib Presiden PAS, Husam Musa, semacam mengambil-alih tugas Tun Dr Mahathir ini dengan menyebut perkara sama.
 
Kenyataan Husam ini dimuatkan oleh portal berita Malaysia Kini sewaktu mengulas bidasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz, ke atas beliau dalam isu “haram undi PAS”.
 
Kata Husam, “PAS masuk kampung keluar kampung beritahu kepada rakyat kalau mengundi selain daripada PAS membawa kepada murtad, kafir dan berdosa” dan “mengundi selain daripada PAS menjadi kafir, munafik dan murtad”.
 
Pelik juga saya bagaimana isu ucapan Husam di Kuala Krai dua hari lalu bahawa “haram undi PAS dan dapat pahala undi Pakatan Harapan” boleh secara tiba-tiba sahaja bertukar menjadi isu PAS mengkafirkan orang-orang Islam.
 
Turut pelik adalah bagaimana seorang yang tidak berpendidikan formal agama seperti Husam boleh mendakwa seorang yang berpendidikan formal agama seperti Nik Mohamad Abduh sebagai “tak berapa faham masalah fikah”.
 
Semakin hari semakin pelik pula politik Malaysia ini. – HARAKAHDAILY 5/3/2018
Advertisement