Ekonomi Malaysia akan lebih kompetitif bersama PAS

MAZLI

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik komen positif oleh agensi penarafan Moody’s Investor Services, bahawa potensi peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang akan memberikan risiko yang kecil kepada penarafan A3-Stable Malaysia sekarang. Moody menambah bahawa jangkaan ini adalah selagi mana tiada perubahan substantif kepada polisi-polisi jangka panjang kerajaan.

Advertisement

Bagi kami komen daripada Moody tersebut menggambarkan sikap profesional agensi antarabangsa itu dalam memberikan penarafan kredit kepada sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia.

Ianya juga bermaksud penerimaan Moody bahawa walau apapun keputusan dan pilihan rakyat selepas PRU14 ini, ianya adalah proses biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Dan sebagai sebuah parti yang mengamalkan pendekatan “muwajahah silmiyyah” dan terlibat secara langsung dalam proses demokrasi pilihan raya, kami yakin sekiranya PAS dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan nanti, pasaran dan komuniti perniagaan akan tetap menerima PAS sebagai kerajaan yang berdaulat dipilih secara sah.

Oleh kerana itulah maka semua tawaran PAS yang telah kami hebahkan kepada umum sepertimana Dokumen Hijau (DH), Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS) dan terkini tawaran Manifesto Malaysia Sejahtera adalah ke arah membina negara Malaysia yang sejahtera, malah yang lebih penting akan memperbaiki dan memulihkan daya saing Malaysia. Dan yang akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif bagi memastikan penarafan Malaysia akan terus kukuh.

Untuk maksud itu maka PAS dalam banyak sesi penerangan dan beberapa kali pernah disebut oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya menghadapai masalah struktur yang salah yang menyebabkan ianya tidak mapan dan tidak kompetitif.

Struktur ekonomi Malaysia sekarang yang terlalu bergantung kepada input modal perlu dibetulkan dan beralih kepada struktur ekonomi berinput buruh yang lebih mapan. Dengan kata lain kuasa untuk menggerakkan ekonomi harus diserahkan kepada rakyat dan meminimakan penglibatan kerajaan.

Jesteru itu tawaran PAS adalah penyelesaian melalui DH yang mengandungi dasar-dasar dan prinsip-prinsip penting berkaitan pengurusan ekonomi Islam bagi menjamin keadilan, pembangunan, kesaksamaan serta pengukuhan ekonomi negara dan rakyat berasaskan Islam.

Secara teknikal DH menawarkan alternatif yang bukan sahaja mampu untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang amat regresif dan opresif, malah ianya mesra pelabur dan pengguna. Melalui alternatif tiga perkara iaitu Cukai Simpanan Korporat, Cukai Pegangan Saham dan Cukai Keuntungan Saham, bukan sahaja menyediakan struktur cukai yang lebih adil berasaskan prinsip Islam, malah mampu untuk meningkatkan permintaan melalui permerkasaan kuasa beli rakyat.

Berdasarkan anggaran kami, melalui pendekatan Cukai Simpanan Korporat kerajaan akan mampu memperolehi pendapatan cukai sebanyak anggaran RM 12.5 billion setahun.

Manakala untuk Cukai Pegangan Saham nilai potensi yang mampu diperolehi kerajaan adalah sebanyak anggaran RM 47.5 billion setahun berdasar harga saham semasa. Semua ini membayangkan bahawa potensi hasil menggunakan kaedah cukai alternatif ini lebih tinggi daripada pendapatan GST itu sendiri. Ini tidak termasuk potensi pendapatan daripada Cukai Keuntungan Saham yang juga agak substantif nilai urus niaganya.

Melalui struktur cukai baru bagi menggantikan GST ini, konsep dicukai orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin akan terserlah dan diperkukuhkan lagi, yang mana ianya mengambil model zakat sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Walaupun begitu dalam melaksanakan struktur cukai baharu ini, PAS akan memastikan bahawa ilkim pelaburan Malaysia, terutama melalui dagangan di Bursa Malaysia, akan terus kekal kompetitif dan mesra pasaran supaya daya saing ekonomi Malaysia boleh diperkasakan. Jesteru perbincangan lanjut diperingkat kerja akan diadakan bersama Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan pemain pasaran yang lain bagi memastikan pelaksanaan struktur cukai baharu ini berjaya.

Pelaksanaan konsep ekonomi Islam melalui tawaran DH ini diperkukuhkan lagi melakukan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS) yang merupakan ‘road map’ untuk Malaysia ke arah Negara Sejahtera. WINS 2051 merupakan satu model baru yang dicetuskan oleh PAS sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden. Mengandungi 10 konsep asas yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, WINS akan menyediakan Malaysia dengan asas yang kukuh ke arah Malaysia Sejahtera.

Antara elemen penting WINS 2051 adalah penstrukturan sistem percukaian berdasarkan sistem ekonomi Islam. Inisiatif ini adalah strategi bagi memastikan tercapai elemen ke tiga WINS iaitu “kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk semua lapisan rakyat”. Strategi ini amat penting bagi memastikan kuasa beli rakyat akan meningkat yang seterusnya menyokong permintaan. Sudah tentu hasil akhir adalah untuk tujuan memastikan Malaysia kekal kompetitif.

Bagi memterjemahkan tawaran-tawaran PAS ini melalui polisi-polisi pengurusan ekonomi seperti yang disebut di atas, tawaran yang lebih mikro telah dituntaskan melalui Manifesto Malaysia Sejahtera (MMS) yang baharu dilancarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS.

Tawaran MMS yang komprehensif tersebut mendokong beberapa objektif penting untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif iaitu, yang paling utama, untuk membetulkan struktur ekonomi Malaysia. Oleh itu, daripada sembilan teras utama MMS, tiga daripadanya adalah diukir khusus bagi memperkasa rakyat sebagai penggerak utama ekonomi Malaysia. Tiga teras tersebut adalah:

Teras Kedua – Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu untuk rakyat.

Teras Ketiga – Pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Teras Keempat – Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kakayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Kumpulan utama sasaran teras-teras tersebut adalah rakyat kelas menengah (M40) dan kelas bawah (B40). Ini jelas daripada semua inisiatif 20 perkara tawaran MMS yang jelas bagi memperkasa M40 dan B40 yang secara langsung akan menjadikan rakyat lebih berfungsi dalam eko-sistem ekonomi Malaysia. Antara sebahagian daripada tawaran 20 perkara yang akan memberi kesan langsung kepada rakyat adalah lapan inisiatif berikut:

1.     Menghapuskan Goods and Services Tax (GST) yang membebankan rakyat dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham di Bursa Malaysia.

2.     Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

3.     Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan.

4.     Menawarkan bantuan sekali (oneoff) sebanyak RM 2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah.

5.     Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa.

6.      Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 cc (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan).

7.      Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM 50 ribu sehingga RM 180,000.

8.      Menstrukturkan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun

Semua tawaran-tawaran tersebut di atas sudah tentu akan meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat yang akhirnya akan memperkukuhkan lagi ekonomi Malaysia dengan struktur yang betul.

Sudah tentu tawaran ini akan mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat terutamanya B40 yang rata-ratanya dihimpit oleh kemiskinan, terutamanya yang tinggal di bandar. Mengikut laporan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), 27 peratus rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur mempunyai pendapatan dibawah tahap kemampuan hidup.

Walaupun B40 ada mendapat kenaikan upah sekitar 6 peratus setahun di antara tahun 2014 hingga 2016 namun ianya masih tidak mampu untuk mengekang kos sara hidup mereka. Ini adalah kerana jika diambil kira kos sara hidup yang perlu ditanggung, pendapatan sebenar bagi B40 hanya meningkat pada kadar 3.8 peratus.

Sebagai panduan mengikut BNM pendapatan mampu hidup untuk Kuala Lumpur adalah sekitar RM 2,700 untuk dewasa bujang, RM 4,500 untuk pasangan dan RM 6,500 untuk pasangan dengan dua anak.

Sudah tentu inisiatif untuk meningkatkan lagi upah dan pendapatan boleh guna rakyat perlu diseimbangkan dengan peningkatan produktiviti rakyat, yang penting bagi memastikan inflasi stabil.

Justeru bagi menentukan iklim ekonomi Malaysia kekal sihat, inisiatif spesifik bagi meningkatkan produktiviti rakyat akan juga diperkenalkan oleh PAS, seimbang dengan inisiatif peningkatan upah dan pendapatan boleh guna, yang akhirnya akan meningkatkan kadar keluaran kasar pekerja Malaysia, iaitu daripada 1.7% sekarang kepada 3.8 peratus. Kadar 3.8 peratus adalah standard yang ditentukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi negara berpendapatan menengah atas seperti Malaysia.

Dengan semua tawaran-tawaran polisi, road map dan inisiatif yang PAS utarakan kepada rakyat dan pasaran, kami berkeyakinan bahawa apabila PAS diberi peluang dan kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah Malaysia selepas PRU14 nanti, akan tidak berlaku apa-apa kejutan yang boleh menjejaskan ekonomi dan pasaran negara, sebagaimana ramalan daripada Moody di atas.  

Walaupun terdapat sedikit kegusaran yang disebut di dalam laporan Moody, terutama berkaitan kedudukan hutang luar, kami percaya Malaysia akan berada dalam landasan dan struktur ekonomi yang lebih kukuh selepas PRU14 dengan pelaksanaan polisi-polisi baharu tersebut, yang secara langsung akan meningkatkan keyakinan pasaran dan mengukuhkan lagi nilai ringgit. Jesteru tahap hutang luar negara akan dapat diurus dalam julat yang optimum iaitu tidak melebihi 20 peratus kadar pembayaran balik hutang (debt service ratio).

Oleh itu kami berpandangan bahawa para penganalisa dan agensi penarafan perlu mengambil kira dan yakin dengan keupayaan PAS untuk mentadbir dan mengurus ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih baik. Justeru, dalam menilai kemampuan PAS, ianya perlulah dilakukan secara objektif, melalui penelitian tawaran-tawaran di atas, dan tidak hanya bergantung kepada sentimen pasaran. Dengan ketelusan, urus tadbir cekap dan integriti tinggi yang telah dibuktikan oleh PAS, kami yakin Malaysia akan lebih kompetitif dan lebih sejahtera bersama PAS.

Malaysia Sejahtera 

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
14 Rejab 1439H / 1 April 2018 – HARAKAHDAILY 1/4/2018