Strategi ziarah kubur 

STRATEGI

Advertisement

Pakar strategi Tun berfikir macam mana untuk membaiki kerosakan yang terhasil daripada ucapan Tun menghina mangsa pembunuhan di Memali sebagai “mati katak'”.

Strategi Pertama: Video minta maaf.

Strategi Kedua: Ziarah kubur pimpinan PAS.

Sudut pandang Tun M 

Memanglah sukar bagi Tun. Musuh-musuh utama Tun ketika mereka masih bernyawa. Tapi itulah strategi untuk mengelakkan kehilangan lebih banyak undi.

Sekurang-kurangnya Tun dilihat cuba merendah diri dengan pimpinan PAS yang telah pun kembali ke Rahmatullah.

Sudut pandang Nik Adli  

Nik Adli pula, tidak langsung berfikir mengenai strategi. Dia kenal Tun sebagai manusia berhati batu yang meng-ISA-kan dirinya. Tun memisahkan beliau daripada keluarganya tanpa diberi hak untuk dibicarakan.

Sedih dan pilunya adalah teramat sangat. Begitu juga ayahandanya yang dipisahkan dengan anaknya. Sekonyong-konyong, Tun Mahathir diberitakan akan menziarahi makam ayahandanya.

Apa lagi, Nik Adli bangkit. Jiwanya tidak rela. Semua pihak menyuruh beliau bersabar dan berlaku adil. Nik Adli merasakan dia telah lama bersabar dan telah dizalimi. Orang yang tidak mengalaminya, tidak memahaminya.

Jiwanya tidak dapat menerima. Bangkit semula rasa marah, geram dan benci kepada si “Penzalim” yang telah memenjarakannya dan menyusahkan ayahandanya.

Dia mengerahkan seluruh keupayaannya untuk menghalang Tun Mahathir daripada menziarahi makam ayahandanya.

Kesimpulan 

Episod ini adalah satu lakonan ingatkan mati bagi Tun Mahathir. Tetapi satu penghinaan yang terlalu ketara bagi Nik Adli. Setiap orang ada batas dan hadnya. Ini sudah melampaui had kesabaran dan kesantunan Nik Adli.

Bukankah Nik Adli lebih utama dimaafkan berbanding Tun Mahathir dalam episod ini? Bukankah sebabnya sudah terang, lagi bersuluh?

Jawapannya “Ya” kepada orang yang masih mempunyai hati dan kehalusan jiwa. Namun bagi strategis politik tanpa jiwa, Tun Mahathirlah yang sedang dizalimi. Tun dihalang daripada mengingati mati. Nik Adli pula ialah si “Penzalim” yang tidak matang dan tidak sejahtera.

Epilog 

“Jebatkah yang benar? Atau akukah yang benar?,”  getus Tun Tuah setelah membunuh Jebat, sambil mukanya menjengah keluar jendela melihat orang ramai berteriak “Hidup Tun Tuah! Hidup Tun Tuah!”.

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
7 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 7/5/2018