Jadikan Masjid Kristal Pusat Tahfiz Diraja

KETIKA menyebarangi jambatan memisahkan kota Kuala Terengganu dan pekan Batu Enam menghala ke Kota Bharu, saya terpandang lagi di pergigian tebing sungai di bawahnya masjid indah bertatah kristal yang penggunaannya tidak sepenting dengan belanja besar membinanya.

Advertisement

Rakyat India – Islam dan tidak – menitis air mata ketika Maharaja Shah Jihan mengerah rakyat membina bangunan Taj Mahal yang kini jadi pusat pelancongan penting di benua Hindi itu.

Masjid Kristal menelan belanja besar membinanya, tidak menjadi pusat ibadat bagi negeri Terengganu dan masyarakat Islam sekitar kota itu. Bahkan jadi tarikan pelancong lebih dari ibadat, dan pelancongannya pula tidak menarik ramai.

Ada ibadat, begitu-begitu saja, ada pelancongan begitu-begitu saja.

Apa cara bagi memanfaatkan masjid semi ibadat itu supaya menjadi pusat ibadat sepenuhnya?

Inilah kali pertama saya ke Kuala Terengganu dalam masa 100 hari negeri itu di bawah pentadbiran PAS kali ketiga sejak 1959. Ia dibina selepas PAS dikalahkan tahun 2004 oleh kerajaan yang menang dan kerajaan yang menang itu kalah lagi diganti semula oleh PAS.

Tiada manfaat semisimumnya oleh kerajaan yang lalu, dan apa cara kerajaan baru PAS ini bagi memakmurkan sepenuhnya institusi keagamaan itu?

Dari ia terbiar sebagai masjid kampung masyarakat awam sekitarnya, saya fikir kerajaan MB Dr. Samsuri boleh menjadikannya pusat tahfiz yang terpenting bagi negeri itu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan kesultanan Terengganu sama seperti British dulu memberi tumpuan penuh menjadikan Maktab Melayu Kuala Kangsar sebagai institusi pendidikan utama Tanah Melayu dengan murid-muridnya dari anak bangsawan yang terpilih.

MCKK menjadi pusat penting membekalkan pembesar dan pentadbir penting kepada keperluan wilayah masa sebelum merdeka dan selepas merdeka.

Terengganu boleh memilih anak-anak yang cerdik dan pintar yang ada di kelas prasekolah sekarang yang diperecaya boleh menjadi hafiz dan ia boleh juga memberi peluang kepada kanak-kanak tepilih dari luar Terengganu belajar di situ.

Jadikan ia sebagai Pusat Tahfiz Diraja yang dibayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, yang dinaungi oleh Sultan, dan bila ia dibentuk sebagai tahfiz diraja, maka layanan kerajaan untuknya adalah istimewa. Terengganu boleh mengambil model terbaik dari pusat pengajian tahfiz dalam dan luar negeri, dan dengan perhatian istimewa itu sasarkan pelajarnya 90+ berjaya.

Boleh antaranya disasarkan tamat dalam dua atau tiga tahun dan pelajar didedahkan dengan asas ilmu al-Quran dan akademik yang pada usia layak lulus sekolah menengah mereka layak melanjutkan pengajian ke universiti dalam dan luar negeri dalam berbagai bidang ilmu.

Program sedemikian sudah pun ada dalam persediaan setengah maahad tahfiz yang lepasnya bukan sekadar melahirkan imam dan ulama, malah mengisi dada rakyat sebagai generasi usahawan, saudagar, pentadbir dan orang profesional al-Quran.

Orang Turki di bawah pentadbiran secular Ataturkisma tidak pernah memikirkan apa akan jadi kepada kanak-kanaknya yang beribu di sekolahkan dalam sistem yang dinamanya Kuran Kursu. Setelah ratusan ribu warganya lulusan hafiz dan hafizah, rakyat yang ekonomi sebelumnya termundur, barakat generasi baru yang berdada Quran Turki sekarang bangun sebagai umat Islam yang penting dan menjadi gergasi ekonomi tersohor di Eropah.

Apa yang meningkat bangsa mundur itu 40 tahun lalu kini jadi umat Islam terpenting, adalah penguasaan al-Quran Turki baru. Jika Masjid Kristal jadi pusat tahfiz terpenting, ia mengangkat Terengganu umat yang berjaya. – HARAKAHDAILY 10/7/2018