Tafsir Surah al-Kahfi ayat 11 – 20

KISAH Ashabul Kahfi bertiti-tolak daripada soalan Musyrikin Makkah yang mahu memalukan Nabi S.A.W. Diutuskan dua pemuka mereka iaitu Nadhir bin Harith dan Uqbah ibnu Abi Mu’ith untuk bertemu dengan Ahli Kitab di Madinah sejauh mana kebenaran bahawa Muhammad adalah seorang Nabi sebagaimana yang diajarkan di dalam kitab Taurat dan Injil.

Advertisement

Bagi mengesahkan akan kebenaran Kerasulan Muhammad, mereka disuruh untuk bertanya sendiri kepada Nabi tiga soalan. Iaitu kisah kaum yang tidur dalam tempoh yang panjang, kisah lelaki yang mengelilingi Timur dan Barat dalam waktu yang singkat dan apakah yang diketahui berkenaan roh.

Apabila ditanya soalan tersebut kepada Nabi, lalu dijanjikan oleh Baginda untuk menjawabnya pada keesokan harinya tanpa melafazkan ucapan InsyaAllah. Akibatnya, wahyu tidak turun selama 15 hari menyebabkan pemuka Quraisy mula mempertikaikan kejujuran Nabi. Peristiwa ini juga menjadi sebab turunnya ayat ke 23 dan 24.

Antara naratif Ashabul Kahfi

Sekumpulan anak muda yang beriman melarikan diri ke sebuah gua demi menyelamatkan akidah daripada Raja yang zalim. (Diqyanus). Mereka ditidurkan dalam tempoh masa yang panjang (309 tahun). Keadaan mereka tidur dengan dipalingkan ke kanan dan ke kiri, tubuh mereka jika dilihat seakan-akan tidak tidur.

Ibrah yang boleh dikutip

●     Tarbiah Allah kepada Nabi S.A.W, sekali gus panduan kepada pemimpin untuk menyatakan kebenaran sekalipun terkena atas dirinya sendiri.

●     Wajib memelihara iman dengan bersungguh. Pemuda Kahfi bukan lari daripada berdakwah, tetapi disebabkan tidak mampu untuk berhujah maka menyelamatkan iman adalah lebih utama.

●     Jangan sekali-kali besama dengan masyarakat Jahiliah tanpa ilmu kerana berpotensi akan dipesongkan. Kerana manusia akan diuji dengan pelbagai cara. Mungkin kita tahan diuji dengan kepayahan, tetapi belum tentu selamat dengan ujian kesenangan yang akhirnya akan menambat hati kita kepada kekufuran.

●     Apabila masih lagi terdapat di kalangan umat yang jujur dan ikhlas (sekalipun kurang ilmu) Allah akan tetap memelihara agamanya. Tetapi jika umat hanyut dengan arus dunia, Allah akan datangkan bala.

●     Orang beriman wajar mencontohi Ashabul Kahfi yang tidak bergaduh pada perkara yang mereka jahil, sebaliknya bersegera mencari jawapan. Apabila mereka dibangunkan dari tidur, masing-masing tertanya-tanya tentang tempoh masa mereka tertidur. Tetapi ia tidak berlangsung lama, akhirnya mereka putuskan untuk menghantar wakil keluar untuk mendapatkan kebenaran akan tempoh sebenar mereka tertidur.

●     Fitnah akhir zaman juga memungkinkan kita mengikuti jejak Pemuda Gua. Apabila terlalu dahsyat fitnah dan godaan serta kerosakan, sebaiknya mengutamakan untuk menjaga iman sendiri berbanding terjun ke kancah kerosakan tanpa bekalan yang cukup.

●     Bekalan yang dimaksudkan adalah ilmu yang menambah keyakinan dan keimanan. Bukan semata-mata memiliki sijil pendidikan yang tinggi hingga PhD, namun semakin jauh dari agama. Memahami al-Quran dan berusaha supaya memahaminya adalah amat dituntut berbanding kita terikut rentak masyarakat hari ini yang hanya mengikut arus orang ramai tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Tafsir Syeikh Mutawalli Sya’rawi

Tafsir Surah Al Kahfi Tuan Guru Hj Abdul Hadi

Fi Zhilal Quran

USRAH PEMUDA BAKRI 
09 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 10/8/2018