PR Kampus: Menteri lambat bertindak

BERIKUTAN daripada kenyataan media oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia dalam Sinar Harian, pada 24 Oktober 2018 dengan tajuk “Pilihanraya Kampus Era Malaysia Baharu”, kami mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Pendidikan Malaysia kerana akhirnya telah mengambil tindakan yang serius untuk melakukan reformasi dalam sistem Pilihan Raya Kampus. GAMIS sejak dahulu telah memperjuangkan isu ini dan era Malaysia Baharu ini adalah peluang yang baik untuk mahasiswa merasai kembali proses demokrasi tulen yang memberikan manfaat kepada masyarakat kampus.

Advertisement

GAMIS dalam satu pertemuan tertutup bersama YB Menteri Pendidikan Malaysia di Everly Hotel Putrajaya pada 1 Oktober 2018 yang lalu telah menyerahkan satu dokumen aduan kepada Pegawai Khas YB Menteri Pendidikan dan telah menyuarakan pendapat GAMIS terhadap kesalahan-kesalahan yang ada di dalam proses Pilihan Raya Kampus pada tahun sebelum-sebelum ini.

Namun, adalah menjadi kekecewaan bagi kami penggerak mahasiswa apabila tidak ada tindakan yang serius daripada YB Menteri Pendidikan untuk mengatasi isu ini.

Untuk makluman YB Menteri Pendidikan, dengan sikap YB Menteri yang tidak mengambil berat terhadap isu Pilihan Raya Kampus ini, sudah terdapat beberapa kampus yang telah tergadai proses demokrasi kampus mereka di era Malaysia Baharu ini antaranya ialah kampus UTHM, UKM, USIM dan UTM.

Sepatutnya YB Menteri mengambil sikap bertanggungjawab dan menjadi contoh kepada pemimpin mahasiswa di kampus dengan mengambil tindakan yang cekap dan pantas melalui kuasa YB sebagai seorang Menteri. Namun sebaliknya berlaku, puluhan ribu mahasiswa telah tergadai hak demokrasi mereka dalam PRK yang telah berlangsung.

Kampus-kampus ini telah berlangsungnya Pilihan Raya Kampus di universiti mereka dengan menggunakan undang-undang kuno yang lama dan tidak demokratik. Ini adalah kesan dan akibat apabila YB Menteri tidak cakna kepada perkembangan isu semasa di kampus dan angkuh tidak mengambil tindakan segera kepada keluhan kami tempoh hari.

Mungkin kami tidak ada harga di sisi YB Menteri sehinggakan dokumen aduan kami tidak dipandang oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia, namun kami ada maruah dan kami cintakan kampus kami.

Di samping usaha reformasi sistem Pilihan Raya Kampus ini juga, GAMIS menyeru kepada YB Menteri untuk memberikan autonomi kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan memberikan mereka kuasa kebebasan untuk mengurus wang aktiviti pelajar yang diperuntukkan melalui yuran semester dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hal ini adalah perkara yang sangat penting dan mesti menjadi keutamaan dalam agenda memperkasa demokrasi kampus agar MPP dalam negara kita kembali menjadi badan perwakilan yang berwibawa, cekap mentadbir dan mampu menyelesaikan masalah masyarakat kampus. YB Menteri mestilah memberikan kepercayaan kepada kami mahasiswa untuk mengurus wang aktiviti pelajar kami sendiri tanpa ada campur tangan oleh pihak pentadbiran kampus (HEP). Semoga dengan reformasi ini, MPP di Malaysia mampu untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa kelak.

Sekian.

“Istiqamah Bersama Islam “

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia – HARAKAHDAILY 25/10/2018