Henti zalimi umat Islam Uyghur di China

ISU berkaitan umat Islam Uyghur di Xinjiang yang terletak di Barat China merupakan isu yang sangat penting. Umat Islam Uyghur berhadapan dengan penindasan pemerintahan Komunis di negara itu. Pihak berkuasa di Xinjiang telah melancarkan propaganda keselamatan pada tahun 2017 dan menahan hampir 228,000 penduduk atas tuduhan jenayah sebagaimana sumber rasmi kerajaan oleh kumpulan hak, China Human Rights Defenders (CHRD).

Advertisement

Kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam Uyghur amat memilukan apabila kalangan mereka dipaksa murtad malah dilarang mengerjakan puasa dan menyimpan janggut. Lebih dahsyat lagi, terdapat berita di mana Muslim Uyghur yang dibunuh setelah pulang dari mengerjakan Haji di Makkah.

Pihak kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil langkah yang proaktif dan efisyen mengenai isu ini dalam membela nasib umat Islam di sana. Kenyataan tegas dari Kerajaan Malaysia terhadap isu ini amat ditagih bagi menzahirkan pendirian ummah terhadap penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah di China ke atas umat Islam Uyghur.

Seluruh ummah juga disarankan untuk berterusan melakukan doa munajat dan Qunut Nazilah agar Allah menurunkan bantuan membela hamba-Nya yang ditindas dan dizalimi serta menghancurkan perancangan jahat musuh-musuh yang melampaui batas. Walaupun isu yang berlaku jauh di luar sempadan negara kita, namun atas keterikatan aqidah yang sama, maka keprihatinan sebagai saudara seagama merupakan tanggungjawab kita bersama di sini.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru kepada semua ahli PAS dan umat Islam umumnya untuk mengecam tindakan zalim yang berlaku ke atas umat Islam Uyghur di Xinjiang dan menggesa ia dihentikan serta merta. Apa yang dilakukan oleh pemerintah di China tersebut adalah melampaui batas yang menyekat hak penganut untuk bebas mengamalkan kepercayaan mereka. Ia adalah bertentangan dengan prinsip keharmonian sejagat manusia yang didukung.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga menggesa agar pihak Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar Negara dapat mengambil langkah dan berperanan untuk bertemu dengan Kerajaan China bagi membincangkan isu ummah ini. Jika benar Kerajaan Malaysia Baharu hari ini serius dengan isu kesejahteraan dan ummah, maka inilah masanya tindakan yang serius boleh lakukan bagi membela umat Islam Uyghur yang dizalimi.

MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/12/2018