Orang Melayu tak malas

SEBELUM azan solat Subuh berkumandang dari Masjid Ayesha Kok Lanas lagi, gerai makan nasi dagang kegemaran saya yang hanya di hadapan pintu masuk Masjid sudah siap menanti kehadiran saya dan ahli jemaah yang lain. Saya tidak pasti dari jam berapa mereka bangun untuk siapkan makanan ketika ramai dari kalangan kita termasuk ‘mereka’ yang kata orang Melayu itu malas masih nyenyak tidur dibuai mimpi. Mana mungkin peniaga dari kalangan orang Melayu seperti mereka itu malas sebab orang Melayu yang malas tidak bangun awal pagi untuk siap berniaga.

Advertisement

7 tahun belajar di Negeri Jelapang Padi, hampir semua pesawah-pesawah yang saya temui adalah orang Melayu. Mereka turun ke bendang membanting tulang untuk isteri dan anak-anak. Dengan keringat empat kerat itulah, anak-anak mereka pada hari ini bergelar graduan, memenuhi sektor korporat malah ada juga yang berjawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan. Hasil usaha pesawah-pesawah inilah juga yang membantu memenuhi keperluan beras kita dan negara. Mana mungkin pesawah-pesawah dari kalangan orang Melayu seperti ini malas sebab orang Melayu yang malas tidak sanggup buat kerja-kerja berat seperti itu.

Dibesarkan di Johor dari kecil lagi, majoriti sahabat baik sekolah saya adalah dari keluarga penoreh getah. Selalu juga saya tidur di rumah mereka. Menyelami corak hidup sahabat baik saya yang sangat bijak dalam subjek Matematik itu sebagai anak seorang penoreh getah, apa yang dimakannya, dipakainya dan di mana tempat tidurnya. Di kegelapan awal pagi ketika manusia yang ringan mulut dan sanggup menyindir orang Melayu itu malas sedang tidur enak di singgahsana mewahnya, berbekalkan lampu dari cahaya pelita yang diikatkan di kepala mereka, ayah dan ibu sahabat baik saya itu sanggup meredah kegelapan ladang getah yang juga dipenuhi ancaman binatang buas hanya kerana ingin memenuhi keperluan makan minum sahabat baik saya dan 4 adik-beradiknya di rumah. Tidak lupa juga sumbangan besar penoreh-penoreh getah ini dari kalangan orang Melayu terhadap keperluan getah negara agar kadar import getah dari luar negara tidak setinggi mana. Mana mungkin penoreh getah dari kalangan orang Melayu seperti mereka yang sanggup bangun awal-awal pagi, sanggup pula menggadaikan nyawa mereka hanya kerana RM2-RM3 sekilo getah skrap itu malas orangnya. Sebab orang Melayu yang malas tidak sanggup buat kerja yang sedikit hasil dan bahaya kerjanya.

Menetap di Terengganu sudah lebih 15 tahun, mata saya meniti cahaya lampu kecil dan samar-samar dari bot-bot nelayan di tengah-tengah lautan. Ada yang menangkap ikan ketika waktu kita sedang siap untuk tidur dan berlabuh semula di jeti ketika matahari berada di puncak kepala. Mereka terdedah kepada bahaya ombak tinggi, dan ada juga yang mati lemas hanya kerana keperluan makan minum isteri dan anak-anak di rumah. Saya pasti tanpa pengorbanan nelayan-nelayan seperti ini, tidak merasalah masakan ikan di atas meja kita, tidak cukuplah keperluan protein anak-anak kita dan seluruh rakyat Malaysia. Mana mungkin nelayan dari kalangan orang Melayu seperti ini yang sanggup gadai nyawanya di tengah lautan itu untuk kita adalah orang Melayu yang malas.

Kalau rajinnya orang Melayu itu hanya diukur jika rumah dan keretanya besar, maka malaslah juga saya kerana rumah saya tidak besar dan kereta Myvi saya juga tidak besar. Mana mungkin orang Melayu yang malas seperti saya ada ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Kalau rajinnya orang Melayu itu hanya diukur bila anak-anaknya tersenarai dari kalangan 10 lelaki terkaya di negara ini, maka berjutalah rakyat Malaysia dari kalangan orang Melayu itu yang boleh disindir Malas.

Saya tidak bersetuju dengan sindiran bahawa orang Melayu itu malas kerana sindiran bahawa orang Melayu itu malas hanya dibuat dari pandang sisi dan istilah peribadi yang sangat sempit. Kesannya juga tidak baik dari sisi pandang kaum-kaum lain di negara ini. Mahukah majikan dari kaum lain menggajikan orang Melayu yang telah tertanam di benak fikirannya oleh sentimen yang tidak sihat bahawa orang Melayu itu adalah kaum yang malas sifatnya walaupun pada hakikatnya tidak malas?

Rajin atau malas tidak hanya diukur dari harta kekayaan yang kita pamerkan ke mata manusia. Dan tidak semua yang kaya hartanya itu pula rajin orangnya kerana yang rajin menipu, rajin merasuah serta rajin menggunakan pengaruh Kronisme anak beranak itu juga kaya hartanya.

Orang Melayu tidak malas. Orang Melayu juga diakui sebagai kaum yang sangat rajin oleh catatan sejarah penjajah. Yang suka menyindir itu mungkin orang yang sebenarnya malas, malas dalam menyelami sejarah.

Jangan lagi disindir bahawa orang Melayu itu malas kerana orang Cina dan India sendiri tidak pernah kata kaumnya malas. Saya khuatir dalam sibuk menyindir orang Melayu malas, orang Melayu akan menyindir semula pemimpin Melayu yang berkenaan agar jangan malas dalam menunaikan janji manifestonya. 

HUZIR SULAIMAN
12 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 12/1/2019