Terus waspadai gerakan songsang dalam negara

PENGUNDURAN Tan Sri Razali Ismail sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) hari ini telah mencuri perhatian rakyat Malaysia. Ramai berharap adanya sinar baharu di badan advokasi itu yang selama ini dilihat beriringan dengan bayangan perjuangan golongan songsang di dalam negara. Mereka mahu semua yang terselindung itu segera dititik noktahkan dari SUHAKAM. Namun realitinya, adakah perletakan jawatan ini menandakan usaha gerak kerja mereka juga lumpuh seperti sebelumnya?
 
Kerana golongan itu telah secara tiba-tiba bangkit dengan gah menimbulkan kekeliruan berskala besar kepada keharmonian dan kefahaman rakyat Malaysia. Mereka berselindung di bawah nama perjuangan Hak Asasi Manusia selama ini, khususnya di era pemerintahan PH. Usaha terkutuk ini dilakukan halus dengan cara memanipulasi fikiran rakyat khususnya untuk sentiasa mengutamakan keterbukaan dan kesamarataan. Selain itu, mereka turut menampilkan beberapa individu songsang yang mempunyai latar belakang Islam Liberal sebagai imej provokasi untuk merosakkan kesatuan rakyat negara ini.
 
Dewasa ini, kebangkitan umat Islam di Malaysia menjadi isyarat penting bahawa perjuangan songsang dan keghairahan serta keberanian mereka dalam membudayakan LGBT dan seumpamanya adalah gagal dan akan sentiasa digagalkan! Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia sudah mula memahami kepentingan hidup bersyariat dan akan terus berkeras serta menolak fahaman dan gerakan songsang ini daripada terus terjebak. Antara kegagalan mereka ialah mempromosikan seks bebas, menghalalkan pelacuran dengan temanya “Sex work is still work”, hiburan melampau kelab malam, arak dan sebagainya.
 
Dengan kebangkitan umat Islam kini jelas memberi isyarat dan amaran secara tidak langsung kepada Kerajaan PH untuk jangan pernah sesekali mencuba mengiktiraf puak-puak songsang ini walaupun mereka adalah penyokong Malaysia Baharu. Malah kelonggaran sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada golongan ini, kelihatan telah mula bertukar tidak berpihak kepada mereka setelah kelihatan mereka terbukti mencabar keharmonian syariat Islam dalam kewajipan menutup aurat bagi kaum wanita.
 
Melalui kenyataan beliau, Pejabat Menteri Agama itu kini memandang isu program ‘Malay Women & Dehijabbing’ yang menyokong keterbukaan sebagai hal sangat serius dan perlu kepada siasatan yang menyeluruh. Menurutnya juga, kini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil maklum berkenaan hal ini dan akan segera bertindak. Selain itu, warganet di media sosial juga turut mengecam penganjuran program tersebut yang bersifat songsang, sesat dan mencabar syariat Allah S.W.T. 
 
Hal ini membuka ‘harapan’ supaya Kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal tegas mematahkan perjuangan songsang mereka yang sarat memperjuangkan kesesatan dalam beragama dan usaha untuk mencantas keluhuran agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
 
Mungkinkah perkara ini telah pun disedari hingga membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Razali? Beliau yang memegang jawatan pengerusi sejak 2016 dan sepatutnya mengakhiri tempoh tugasnya sehingga 27 April 2019. Malah, beliau membuat keputusan meletakkan jawatan dua minggu awal. Adakah hal ini berlaku kerana pihak berkenaan merasa tersepit dan perjuangannya juga tersekat di bawah Kerajaan PH?
 
Pun begitu, rakyat negara ini khususnya umat Islam tidak harus merasa selesa. Perlu ditanya, adakah pejuang sosialis songsang ini telah kecewa atau sebenarnya mereka akan bangkit lebih agresif selepas ini setelah wadah ‘harapan’ mereka gagal bersinar? Siapakah dalang yang membiayai mereka? Adakah mereka akan berkolaborasi dengan angkatan ‘asing’ songsang di luar negara? Kewaspadaan ini harus tegar disanubari ummah. – HARAKAHDAILY 16/4/2019
IMG 20190416 WA0069
Advertisement