Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (14)

وَكَذَٰلِكَ بَعَثۡنَٰهُمۡ لِيَتَسَآءَلُواْ بَيۡنَهُمۡۚ قَالَ قَآئِلٞ مِّنۡهُمۡ كَمۡ لَبِثۡتُمۡۖ قَالُواْ لَبِثۡنَا يَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ يَوۡمٖۚ قَالُواْ رَبُّكُمۡ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثۡتُمۡ فَٱبۡعَثُوٓاْ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلۡمَدِينَةِ فَلۡيَنظُرۡ أَيُّهَآ أَزۡكَىٰ طَعَامٗا فَلۡيَأۡتِكُم بِرِزۡقٖ مِّنۡهُ وَلۡيَتَلَطَّفۡ وَلَا يُشۡعِرَنَّ بِكُمۡ أَحَدًا

Advertisement

“Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka saling mempersoalkan. Salah seorang di antara mereka bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian bawalah kepada kalian rezeki daripadanya; dan hendaklah dia berhati-hati (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.”

Penekanan utama ayat:

●     Dibangkitkan semula

Tujuan mereka dibangkitkan setelah tidur supaya menjadi bukti kekuasaan tuhan terhadap mereka sendiri dan terhadap penduduk kampung.

●     Fiqh muamalat

Kisah ini memberikan contoh bagaimana konsep akad tawkil yang diiktiraf dalam Islam di mana mereka mewakilkan seorang membeli makanan bagi pihak ramai. Akad musyarakah juga berlaku di mana mereka berkongsi makanan

●      Matawang

Perkataan (ورق) diterjemahkan sebagai wang. Namun ulamak berkhilaf bagaimanakah bentuk wang tersebut. Majoriti mengatakan ia adalah syiling perak. Namun ada yang memahami secara literal bermaksud wang kertas. Sedangkan Rom tidak mengenali wang kertas melainkan setelah kedatangan Islam.

Pandangan ini menimbulkan persoalan baru, adakah kisah Ashabul Kahfi merupakan kisah akan datang yang belum berlaku?

●     MAKANAN YANG BAIK

Memilih makanan yang baik adalah penting di sisi Islam. Bukan semua perkara boleh dimakan. Dan bukan semua yang halal adalah baik. أزكى طعاما adalah makanan yang halal lagi baik (حلالا طيبا).

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini merekodkan fakta penting yang menjadi turning point dalam kisah persembunyian Ashabul Kahfi. Secara lebih spesifik, matawang yang digunakan oleh wakil Ashabul Kahfi bernama Yamlikha semasa membeli makanan itulah yang menyebabkan identiti mereka terbongkar. Barulah mereka tahu betapa lama mereka tidur.

Menurut pandangan majoriti ulamak, wang yang digunakan adalah syiling perak berwajah Decius, pemerintah di zaman mereka melarikan diri. Apabila diberikan wang tersebut kepada penjual, mereka amat terkejut kerana wang tersebut tidak lagi digunakan, dan pemerintah pun sudah bertukar.

Berkait dengan ibrah akhir zaman, wang dan matawang merupakan perbahasan penting geostrategi yang telah mengubah pola politik dan ekonomi dunia ke arah membentuk hegemoni kuasa unilateral Barat. Sistem kewangan dunia sejak 1971 telah berubah daripada sistem Bretton Woods kepada sistem Petrodollar. Petrodollar secara ringkas adalah sistem yang mengikat nilai matawang lain dengan matawang dollar, sementara dollar pula menjadi satu-satunya matawang yang diterima dalam transaksi petrol.

Arkitek petrodollar adalah Henry Kissinger yang telah melobi Arab Saudi untuk menerima jual beli petrol hanya dalam US Dolar sebelum diikuti oleh negara-negara teluk lain. Akhirnya, OPEC dibentuk dalam negara-negara yang bernaung di bawah majlis negara pengeluar minyak itu semuanya mengikat perjanjian jual beli dalam bentuk US Dollar sahaja. Dengan itu, hegemoni Pan-Americana semakin mengukuh.

Menurut kisah Ashabul Kahfi, matawang yang digunapakai itulah yang membongkar persembunyian mereka. Hari ini, dengan menjadi tuan kepada US Dollar, Amerika Syarikat bukan sahaja berjaya menstabilkan ekonomi mereka bahkan mampu untuk membaca malah mempengaruhi aktiviti ekonomi dunia dari beberapa sudut.

Kebimbangan terbaru hari ini adalah berkait satu lagi sistem matawang iaitu matawang digital (cryptocurrency). Dunia hari ini sedang menuju ke arah masyarakat tanpa wang tunai (cashless society) dengan kemudahan bayaran atas talian semakin banyak. Selain daripada gharar yang terlalu banyak, kesan paling besar sekiranya cryptocurrency diterima secara rasmi oleh negara-negara dunia adalah semua maklumat transaksi seluruh dunia akan dapat dikesan bahkan mampu dikawal oleh satu pihak yang menawarkan sistem tersebut (service provider).

Jalan untuk selamat daripada sistem Dajjal ini adalah dengan kembali menggunakan matawang yang memiliki nilai intrinsik iaitu emas dan perak. Perkara ini sudah lama diusahakan oleh penguasa Islam seluruh dunia, namun sering mendapat tentangan daripada kuasa besar dunia kerana mampu mengancam kuasa mereka. Mengikut undang-undang antarabangsa, transaksi menggunakan emas sebagai matawang adalah tidak sah (illegal tender).

Apapun, kita sebagai orang awam perlu berusaha menyimpan emas sebanyak mungkin untuk masa-masa mendatang.

19 Mei 2019
14 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 19/5/2019