Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (27)

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا

Advertisement

“Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!””

وَلَمْ تَكُن لَّهُ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّـهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا

“Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.”

هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّـهِ الْحَقِّ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا

“Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).”

Penekanan utama ayat:

●     Penyesalan

Lumrah manusia, sukar untuk bersyukur dengan apa yang ada. Malah menjadi tamak terhadap apa yang masih tidak dimiliki. Manusia hanya akan lebih menghargai setelah kehilangan segala yang diperolehinya. Kehilangan sesuatu adalah ujian tuhan supaya manusia berasa sesal dan kembali mengingatiNya. Lebih baik menyesal di dunia berbanding menyesal di akhirat.

●     Tiada mampu membantu

Berhadapan dengan kuasa tuhan, nyata tiada siapa mampu menentang. Walaupun ada pihak cuma menafikannya seperti Firaun cuba membunuh semua anak Bani Israel supaya kerajaannya tidak hancur, Bani Israel yang cuba membunuh Nabi Muhammad semasa kecilnya supaya pembohongan mereka tidak terbongkar, kerajaan Arab hari ini yang mencari anak bernama Muhammad supaya al-Mahdi tidak lahir dan menghancurkan kuasa mereka, ataupun Zionis yang cuba mempertahankan kerajaan Israel mereka. Akhirnya mereka akan sedar tiada kuasa lebih hebat di hadapan kuasa tuhan.

●     Terserlah kuasa tuhan

Apabila manusia tidak lagi mampu memperbetulkan keadaan, tibalah masa tuhan berperanan menunjukkan kuasanya terhadap mereka yang melakukan kesalahan. Jika manusia memperbetulkan, masih ada ruang menyelamatkan apa yang dimiliki. Namun jika tuhan mengambil alih, terserahlah kepadaNya untuk melakukan apa sahaja. Perkara ini perlu disampaikan kepada pelaku maksiat agar bertaubat sebelum kemurkaanNya menimpakan azab seksa.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T terutama kepada mereka yang sebelum ini sombong kepadaNya. Supaya mereka sedar harta yang selama ini mereka kecapi adalah dengan izin dan pinjaman Allah. Allah berhak menarik balik bila-bila masa sahaja.

Dunia hari ini terbelenggu dengan sistem kekayaan (ekonomi) tidak bertuhan. Sekular telah menjelmakan ideologi kapitalisme, komunisme dan lain-lain sebagai sistem yang dipercayai mampu membawa manusia ke arah peradaban tertinggi.

Namun hakikat yang kita lihat, sistem ini telah menunjukkan kegagalannya satu persatu. Sistem komunisme yang menjadi ideologi negara-negara berhaluan kiri sudah lama lenyap sejak kejatuhan Soviet Union 1993. Kini negara-negara yang berideologi ekonomi kapitalisme mula jatuh. Greece, UK, US dan beberapa negara lain kini berhadapan dengan tanggungan hutang mencecah quadrillion dollar. Mereka hanya bergantung dengan kekuatan politik sahaja untuk terus bertahan di arena ekonomi dunia.

Tiga punca utama kejatuhan ekonomi dunia adalah kerana berpaksikan perkara berikut:

1.     Wang Fiat

Wang Fiat adalah sejenis kertas pengukur nilai yang tidak ada nilai intrinsik dan tidak mewakili harta yang jelas. Nilainya hari ini ditentukan oleh nilai urusniaga petrol yang diikat dengan US dollar (petro-dollar). Perkara ini termasuk dalam urusniaga gharar yang ditegah oleh Islam.

2.     Pinjaman berfaedah

Melalui IMF sebagai badan kewangan dunia, mereka telah memaksa negara-negara meminjam dengan mereka bagi membangunkan negara masing-masing. Pinjaman tersebut menjanjikan faedah signifikan yang akhirnya membawa kepada inflasi, peningkatan kos hidup dan seterusnya penjajahan bentuk baharu.

Sistem yang diperkenalkan IMF diikuti oleh hampir semua bank dan syarikat kewangan seluruh dunia. Di atas kertas tampak pemiutang menjana hasil yang banyak daripada perniagaan wang. Namun di sebaliknya, perniagaan itu menjerut leher mereka sendiri. Ini merupakan transaksi ribawi yang diharamkan.

3.     Petrol

Kerana mempertahankan US dan dollar dan ekonomi negara kuasa dunia itu, petroleum telah dimomokkan sebagai komoditi terpenting dunia. Perkembangan teknologi diarahkan supaya tidak mengesampingkan kebergantungan terhadap petroleum sebagai penjana tenaga utama. Apabila negara-negara pengeluar petroleum berada di bawah kawalan mereka, dan teknologi berasaskan petroleum dimonopoli oleh mereka, mudahlah mereka menjamin masa depan ekonomi dan kestabilan politik mereka.

Sebarang usaha memperkenalkan sumber tenaga alternatif yang tidak terhad sama ada melalui tenaga solar, tenaga hidro atau tenaga kinetik akan cuba digagalkan supaya kebergantungan dunia terhadap petrol tidak terjejas. Inilah yang menjadi punca mereka yang beroleh kekayaan daripada petroleum menjadi bongkak sombong seolah-olah mereka mampu menguruskan dunia tanpa bantuan Ilahi.

Segala kepercayaan mereka akhirnya akan jatuh. Kebergantungan terhadap petrol, riba dan fiat lambat laun akan menyebabkan dunia huru-hara dan rosak. Fiat rosak kerana bersandarkan sesuatu yang tiada. Sistem perbankan rosak kerana riba yang menambah beban bukan menyelesai masalah. Kebergantungan terhadap petroleum juga merosakkan kerana ia tidak lestari bagi alam sekitar. Dalam waktu yang sama, petroleum adalah penyebab peperangan di dunia ini. US diberikan hak campurtangan dari sudut ketenteraan ke dalam kancah negara-negara pengeluar minyak OPEC atas alasan menjaga kepentingan mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W menggambarkan fenomena huru-hara ini:

الفراتُ أن يُحسِرَ عن جبلٍ من ذهبٍ . فإذا سمع به الناسُ ساروا إليه . فيقول من عنده : لئن تركنَ الناسَ يأخذون منه ليذهبنَّ به كلُّه . قال فيقتَتِلون عليه . فيُقتَلُ ، من كلِّ مائةٍ ، تسعةٌ وتسعون  .

“Sungai Furat hampir menyingkapkan gunungan emas. Apabila manusia mengetahuinya, mereka akan pergi mendapatkannya. Maka berkatalah sesama mereka, sekiranya kita biarkan orang mengambilnya nescaya akan habislah semua emas itu. Lalu mereka berperang bagi mendapatkannya. Maka akan terbunuh 99 dari setiap 100 orang.”

[HR Muslim]

Nabi S.A.W menggambarkan sesuatu yang buruk bakal berlaku di sisi Sungai Furat (Syria, Iraq, Turki) iaitu peperangan yang sangat dahsyat sehingga 99 peratus yang terlibat akan terbunuh. Puncanya kerana berebutkan habuan emas yang terdapat di sungai tersebut.

Sebahagian ulamak menafsirkan hadis ini dengan fenomena yang berlaku sekarang. Emas yang dimaksudkan di dalam hadis  adalah sumber petroleum dan gas asli yang menjadi komoditi utama dunia hari ini. Persaingan geo-politik melibatkan kuasa-kuasa besar di Syria, Iraq malah Turki antaranya kerana ingin menguasai sumber komoditi tersebut.

Emas dikiaskan dengan petroleum adalah kerana emas merupakan penentu nilai bagi matawang sejak zaman dahulu termasuk zaman Nabi S.A.W. Tetapi hari ini, matawang dunia tidak lagi bersandarkan kepada nilai emas sebaliknya berasaskan kepada sistem petrodollar, di mana nilai petrol yang diikat dengan US dollar menjadi faktor utama nilai matawang moden.

Sistem petrodollar diperkenalkan pada tahun 1971 bagi menggantikan sistem Bretton Woods yang jatuh pada tahun 1970. Ketika berlaku perang Arab-Israel, US memeterai perjanjian dengan Arab Saudi bagi menjual petrol hanya dalam bentuk US Dollar, sebelum diikuti negara-negara pengeluar utama minyak dunia dan membentuk OPEC. Sebagai balasan, US bersetuju untuk melindungi industri minyak negara-negara tersebut dengan teknologi dan juga ketenteraan.

Petroleum menjadi antara faktor utama persaingan geo-politik di rantau Asia Barat. Apabila dilihat kawasan-kawasan yang dikuasai ISIS adalah di kawasan Timur Laut Syria dan Barat Laut Iraq, dan kawasan tersebut memiliki telaga minyak yang sangat banyak. Kini puak Kurdis yang menduduki kawasan Utara Iraq dan Syria serta tenggara Turki mula mengambilalih kawasan-kawasan ISIS.

ISIS dan Kurdis kedua-duanya dibiayai oleh fraksi antarabangsa US. Mereka sebenarnya bekerja bagi kepentingan politik negara musuh Islam itu. Malah dalam keadaan perang yang masih rancak, aktiviti penyeludupan minyak juga giat berlaku di kawasan terbabit.

Jika benar maksud hadis Nabi S.A.W merujuk kepada situasi sekarang, boleh jadi 100 orang yang berperang merebutkan emas itu adalah kumpulan-kumpulan bersenjata yang wujud di Turki, Syria dan Iraq sekarang. Ubai bin Kaab menambah dalam riwayatnya: sekiranya kamu berada pada ketika itu, maka janganlah kamu terlibat langsung dengan peperangan tersebut.

Jalan untuk selamat daripada konflik petroleum ini adalah:

1.    Kembali menggunakan sistem kewangan bersandarkan emas. Iran, Russia dan China giat membangunkan sistem ini sekarang.

2.     Membebaskan diri daripada IMF dan mengsktukturkan semua kontrak pembiayaan kepada berasaskan pelaburan, perkongsian, tempahan atau pinjaman tanpa faedah yang dihalalkan Islam.

3.     Membangunkan teknologi sumber alternatif kepada petroleum. Seperti tenaga solar, hidro atau kinetik yang lebih mesra alam dan tidak dapat dimonopoli sesiapa.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 1/6/2019