Sarawak bankrap, ekonomi Malaysia juga terjejas

KENYATAAN Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang adalah lebih daripada kenyataan seorang ahli politik yang tidak mempunyai idea untuk menguruskan kewangan negara.
 
Inilah pertama kali kita mendengar negeri akan jatuh bankrap setelah berpuluh-puluh tahun mengeluarkan hasil yang banyak untuk membangunkan sebuah negara seperti Malaysia. Kita jarang menggunakan perkataan bankrap atau muflis bagi negeri kerana Sarawak adalah sebahagian daripada negeri di Malaysia.
 
Sekiranya Sarawak boleh muflis di Malaysia, ekonomi negara juga akan terjejas teruk kerana Kementerian Kewangan gagal melaksanakan tugasnya untuk membantu negeri di Malaysia menghadapi krisis kewangan.
 
Menteri Kewangan harus memberi lebih tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri dan bukannya masih berfikir seperti pembangkang.
 
Sebagai rakyat Sarawak, kita tidak mahu negeri kita bankrap dan mundur dari segi pembangunan kerana banyak hasil Sarawak diberikan kepada kerajaan persekutuan semata-mata untuk membangunkan negara. Adalah tidak adil sekiranya hasil dan sumber pendapatan Sarawak tidak diberikan sama rata untuk pembangunan di negara ini.
 
Kami tidak bergantung pada siapa yang akan menguasai negara ini tetapi yang lebih penting, kebajikan dan kemakmuran rakyat harus diberi keutamaan bukan sahaja untuk bermain politik semata-mata untuk mengejar kepentingan mereka sendiri.
 
Rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan adil untuk semua tanpa menghiraukan fahaman politik bukan sahaja memainkan politik sepanjang masa sehingga ia memberi kesan kepada kebajikan rakyat dan kepentingan rakyat diabaikan.
 
Rakyat telah memilih kerajaan baru jadi kerajaan baru harus lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Mengurangkan permainan politik dan fokus pada tugas menjadi menteri untuk memberi kebajikan kepada rakyat. Kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan harus diberi keutamaan bagi kebaikan rakyat.
 
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 24/6/2019
Advertisement