KLIA: ‘Wake up call’, muhasabah bagi negara

INFRASTRUKTUR rangkaian di KLIA telah dibina dan pengoperasiannya di bawah kendalian Bahagian IT Malaysia Airports sejak awal pembukaan lapangan terbang tersebut dalam tahun 1998. Rangkaian tersebut yang dikenali sebagai Total Airport Management System (TAMS) menjadi platform untuk lebih daripada 40 sistem yang menyokong pengoperasian KLIA yang meliputi sistem pengawalan trafik udara, pengendalian bagasi, daftar masuk penumpang, sistem maklumat penerbangan, airport wifi dan lain-lain lagi.

Advertisement

Semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi sama ada untuk talian tetap atau selular perlu mengguna pakai rangkaian TAMS ini untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada pelanggan yang berada di dalam kawasan 10 km x 10 km persegi yang digazetkan sebagai pembangunan lapangan terbang di bawah kendalian Malaysia Airports.

Sistem rangkaian yang dibangunkan adalah antara yang terbaik pada ketika itu, namun setelah lebih 20 tahun beroperasi, dengan peningkatan jumlah penumbang tahunan (KLIA & KLIA2) yang melebihi 59 juta sekarang ini dan peningkatan sistem-sistem sokongan digital oleh syarikat penerbangan, tanpa penaiktarafan rangkaian yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran operasi lapangan terbang, maka KLIA mengalami ‘black out’ yang hampir melumpuhkan operasi lapangan terbang.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa satu siasatan rapi dibuat ke atas kejadian ini dan satu langkah yang drastik perlu diambil bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi di masa hadapan. Infrastruktur yang kritikal seperti lapangan terbang melibatkan isu keselamatan negara (National Security & Safety) dan perlu diambil perhatian yang serius. Isu kos bagi penaiktarafan sistem rangkaian kritikal perlu diuruskan dengan sebaiknya bagi memastikan kelancaran operasi sistem-sistem lain yang bergantung penuh kepada ketersediaan sistem rangkaian tersebut.

Di masa kini, lapangan terbang terkemuka dunia masing-masing rancak melakukan transformasi ke arah penyediaan pengalaman penumpang yang terbaik, dengan menggunakan pendekatan Airport Collaborative Decision Making (ACDM), pihak pengurusan lapangan terbang seperti Malaysia Airports perlu mengorak langkah bagi memastikan KLIA mencapai taraf ACDM-certified airport. Semua pemegang taruh (stakeholders) perlu memainkan peranan bagi memastikan KLIA yang menjadi pintu masuk utama ke negara ini, memberikan pengalaman yang terbaik kepada penumpang dan semua warga kerja di lapangan terbang.

Bagi memastikan kelancaran operasi sistem yang kritikal seperti di KLIA, pihak pengendali sistem termasuk rangkaian, perlu memastikan wujudnya program penaiktarafan secara berkala seperti mana yang dipraktikkan dalam industri penerbangan di negara-negara maju. Jangka hayat sistem yang berkait dengan kelancaran operasi penerbangan yang dipraktikkan adalah antara 7 hingga 10 tahun di mana penggantian perlu dibuat walaupun tidak mengalami kerosakan. Pengoperasian sistem yang melampaui jangka hayat komponen elektronik akan mengakibatkan kegagalan sistem yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan kos pembaikpulihan akan meningkat. Bagi sistem digital, jangka hayat komponen adalah lebih pendek, antara 3 hingga 5 tahun.

Pihak penyedia perkhidmatan seperti Malaysia Airports, yang diamanahkan sebagai pengendali lapangan terbang utama di negara ini, perlu memberikan perhatian yang amat serius ke atas tempoh jangka hayat peralatan, serta menyediakan rancangan penaiktarafan yang komprehensif bagi menangani isu end-of-life bagi setiap sistem / komponen.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
5 September 2019 | 5 Muharam 1441 – HARAKAHDAILY 5/9/2019