Kenapa dibiarkan DAP langgar Akta Pertubuhan?

MAKLUM balas Timbalan Menteri Dalam Negeri terhadap soalan saya mengenai sebab-sebab pembatalan dan penggantungan sesebuah pertubuhan serta status pertubuhan seperti DAP yang memperjuangkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ di Dewan Rakyat pagi adalah amat mengelirukan.

Sedangkan berdasarkan Seksyen 2A (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) jelas menghendaki semua pertubuhan berdaftar mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam setiap operasinya dan jika berlawanan antaranya dengan kepentingan Raja-raja, agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan orang Melayu maka hendaklah pertubuhan itu dibatalkan.

Mustahil Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menaungi pelbagai agensi penguat kuasa di negara ini tidak menyedari bahawa banyak sekali aktiviti dan hal ehwal DAP adalah ‘berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambil kira mengenai’ perkara-perkara ini.

Tambah pula, Perlembagaan DAP hanya menyebut mengenai “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi”  [ Fasal II (4) ] tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia”.

Perlembagaan DAP juga hanya menyebut mengenai “Memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia” [ Fasal II (2) ], atau mengenai “Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama” [ Fasal II (10) ], atau mengenai “Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu” [ Fasal II (11) ], tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”.

Fasal-fasal Perlembagaan DAP yang dimanifestasikan bercanggah dengan kepentingan Raja-raja, agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan orang Melayu lebih jelas dilihat menerusi pendirian dan sikap DAP dalam pelbagai isu seperti pengiktirafan UEC, ratifikasi ICERD dan Statut Rom.

Pelik sekali apabila KDN seperti langsung tidak merasakan DAP telah menyalahi Seksyen 2A (1) Akta 335 ini lebih-lebih lagi setelah dua pemimpin DAP ditahan di bawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas, LTTE.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 16/10/2019

Advertisement