MOTAC mesti bertindak kepada Ekspo Tatoo

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa terkejut dan marah setelah tersebarnya berita penganjuran program Tattoo Malaysia Expo 2019 di Pusat Konvensyen KL pada 29 November hingga 1 Disember yang lalu. Kami mendapat makluman bahawa ekspo ini adalah kali yang pertama diadakan di Kuala Lumpur, setelah 3 tahun ia dianjurkan di Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2015 hingga 2017.

DPPM berpandangan bahawa program sebegini tidak sepatutnya diadakan secara terbuka, malah dilaporkan oleh penganjur ianya mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Program ini adalah jelas bertentangan dengan budaya ketimuran masyarakat Malaysia, serta menggalakkan orang ramai untuk menzalimi dan menyeksa tubuh badan sendiri. Sedangkan ianya merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan ditegah oleh mana-mana agama. Penganjuran program ini juga amat tidak sesuai untuk diadakan di Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Tatoo merupakan perkara yang diharamkan di dalam Islam, berdasarkan Hadis Rasulullah S.A.W dalam Sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

Advertisement



“Allah melaknat perempuan (orang) yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan (orang) yang membuat tatoo dan yang meminta dibuat tatoo.”



DPPM mengecam sekeras-kerasnya program Malaysian Tattoo Expo ini dan menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas jika ianya telah menyalahi undang-undang dan SOP yang telah ditetapkan. DPPM juga mendesak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk terlibat sepenuhnya terhadap insiden ini. DPPM yakin Kementerian tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran tersebut, dan berkemungkinan besar tidak mengetahui tentang penganjuran, sama ada terlepas pandang atau nama Kementerian digunakan tanpa persetujuan. Walau bagaimanapun, sebagai Kementerian bertanggungjawab, mereka harus berikan penjelasan berkenaan program ini dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia tidak mendapat kelulusan Kementerian.

DPPM mendesak agar kerajaan dan semua pihak mengambil tindakan tegas dan memastikan program sebegini tidak berulang lagi. Penganjuran program sebegini adalah bertentangan dengan budaya dan adat masyarakat majmuk, serta menggalakkan lebih banyak masalah sosial dan penyakit akibat penggunaan jarum bagi membuat tattoo. Kerajaan harus memandang serius dan tidak bersikap sambil lewa terhadap penganjuran program yang boleh memburukkan nama dan imej Malaysia.

NADZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/12/2019