Kejuaraan pelumba negara banggakan rakyat Malaysia

KEMERIAHAN Sukan Sea Manila 2019 terus menceriakan kem Malaysia dengan pelbagai pingat berjaya diraih setiap hari melibatkan pelbagai acara ke arah merealisasikan sasaran 70 pingat emas. 

Advertisement

DACS Malaysia merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah khususnya kepada semua atlit yang telah berjaya memenangi pingat setakat ini dengan 40 emas, 37 perak, 50 gangsa serta umumnya semua atlit yang telah mengambil bahagian. 

Di temasya berbeza, pelumba basikal terkemuka negara, Azizulhasni Awang yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’mengharumkan nama Malaysia setelah muncul Juara acara ‘Men’s Keirin UCI Track Cycling World Cup IV’.

Kejuaraan kejohanan tersebut yang berlangsung di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand itu menjadikan pencapaian membanggakan sekali gus berjaya menewaskan dua bekas juara dunia, Shane Perkins (Russia) dan Matthew Glaetzer (Australia) di tempat kedua dan ketiga. 

Kemenangan itu membuktikan beliau berada di landasan yang betul bagi mengejar pingat emas Olimpik di Tokyo, Jepun tahun hadapan selepas mencatat masa 9.853 saat dan berharap agar beliau terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam kejohanan siri dunia berikutnya yang akan bermula 13 Disember ini. 

Memetik sebagai berkata dalam laman Facebook milik Azizul, Emas khusus untukmu Malaysia serta amat terhutang budi dengan peluang yang tidak berkesudahan dan sokongan padu yang diberikan seterusnya memberikan Jalur Gemilang berkibar di New Zealand. 

Sementara itu, pelumba motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman turut membanggakan kita semua rakyat Malaysia apabila mengungguli perlumbaan penutup musim di kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2019 yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand. 

Azlan yang mewakili ONEXOX TKKR SAG Team mencipta sejarah menjadi Juara Asia pertama kelas Superbike 1000cc yang baru diperkenalkan di ARRC pada musim ini dengan memimpin perlumbaan sejak awal sebelum melepasi garisan penamat dengan catatan 20:57.034 saat (s) dan berjaya mengatasi pelumba Australia, Broc Parkes yang sekadar berpuas hati di tempat kedua. 

Kemenangan itu menyaksikan pelumba kelahiran Klang, Selangor itu mengumpul keseluruhan 238 mata muncul Juara keseluruhan manakala seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi yang menamatkan perlumbaan ketinggalan 5.175s di belakang Azlan menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ketiga dengan mengumpul 211 mata. 

Justeru, DACS Malaysia mengharapkan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia tidak ‘terlupa’ untuk mengiktiraf kecemerlangan mereka dalam pembangunan dan penghargaan sukan tanah air kerana telah menjulang Malaysia di persada Antarabangsa. 

DACS Malaysia juga melalui pelbagai platformdan kelab permotoran, Alternative Riding Club (ARC), DACS Motorsport Club (DMC) dan Alternative Cycling Club (ACC) bersedia untuk bekerjasama dalam usaha memajukan lagi sukan di negara Malaysia tercinta ini, InsyaAllah. 

“Fit It Sunnah”
“Sukan Satukan Kita”

HAFEZ SABRI 
Ketua Pengarah DACS Malaysia 
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/12/2019