Harap dialog Mujahid-DJZ selesaikan isu

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan pertubuhan Dong Jiao Zong selepas berjaya menemui kesepakatan dalam polemik isu pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular.

Sebagai pertubuhan yang menjadi punca yang menghangatkan permasalahan ini, respons Dong Jiao Zong yang akhirnya bersetuju pembelajaran Jawi bukanlah suatu agenda Islamisasi pelajar sekolah Vernakular amatlah diharapkan. Lebih-lebih lagi merekalah yang selama ini menjaja dan menghangatkannya, sehingga menimbulkan kerisauan kepada masyarakat bukan Islam. Pemuda PAS terkejut apabila Dong Jiao Zong boleh merubah pendirian mereka, namun kami memandang positif perkara ini.

Walau bagaimanapun, Pemuda PAS mengharapkan adanya tindakan susulan dari pertemuan ini. Sejauh mana perjumpaan dan kesepakatan semalam mampu menyelesaikan isu polemik pembelajaran Jawi yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat? Apakah Dong Jiao Zong sedia turun dan menjelaskan kembali kepada masyarakat bukan Islam berkenaan tuduhan jahat mereka selama ini? Apakah Dong Jiao Zong selepas ini akan lebih berlembut dan sedia berdialog kembali dengan Kementerian Pendidikan untuk pembelajaran Jawi ini dilaksanakan di sekolah Vernakular? Apa jaminan Menteri dan Dong Jiao Zong pertemuan ini akan menyelesaikan isu ini, menghentikan polemik serta mengembalikan semula keharmonian dan perpaduan? Kami mendesak Dong Jiao Zong agar mengambil langkah segera untuk membetulkan kesalah fahaman yang mereka sendiri bawa kepada masyarakat bukan Islam berkenaan pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular.

Timbul juga kerisauan kami berkenaan pertemuan semalam apabila Kementerian Pendidikan tidak dilibatkan dalam pertemuan, sedangkan merekalah sebenarnya pihak yang paling berkepentingan dalam isu ini. Isu pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular bukan di bawah bidang tugas JPM (Agama), tetapi di bawah KPM. Malah, Menteri di JPM (Perpaduan) juga tidak dilibatkan sama, sedangkan sebelum ini beliaulah yang menganjurkan dialog berkenaan isu ini, oleh kerana isu ini telah menggugat perpaduan negara dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikannya. Namun Dong Zong ingkar dan enggan hadir pertemuan tersebut. Pemuda PAS mempersoalkan sejauh mana keputusan perjumpaan ini bakal mengikat pihak-pihak apabila kerajaan diwakili oleh Menteri yang tidak ada kaitan dan bidang kuasa berkenaan pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular. Kami mengharapkan perkara ini tidaklah menjadi isu dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak di kemudian hari.

Pemuda PAS mengharapkan agar semua pihak dapat mencapai kesepakatan dalam isu pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular dan menghentikan terus sebarang pemahaman salah serta mesej kebencian yang boleh menggugat perpaduan. Pemuda PAS bertegas bahawa tulisan Jawi adalah suatu warisan yang perlu dikenali dan dipelihara, dan sebagai medium memupuk perpaduan. Tidak seharusnya tulisan Jawi dijadikan modal perpecahan dan kebencian sehingga menggugat perpaduan masyarakat disebabkan keegoan sendiri.

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/1/2020

Advertisement