PKPB: Kelantan akan perhalusi terlebih dahulu

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memperhalusi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, garis panduan itu perlu diperhalusi dan disesuaikan penggunaannya di Kelantan.

Katanya perkara itu akan dibincangkan lebih teliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Kelantan yang akan diadakan Khamis ini.

Advertisement

“Kerajaan negeri boleh menyesuaikan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok mengikut keperluan rakyat negeri masing-masing,” katanya pada kenyataan media di sini hari ini.

Hari ini Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, penyesuaian itu bagaimanapun mesti mematuhi ruang lingkup SOP ditetapkan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya sehingga sekarang keputusan diambil dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan yang dibuat sebelum ini masih terpakai dan perlu dipatuhi semua pihak.

Ustaz Ahmad juga berkata, Kelantan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sehingga sekarang negeri itu masih kekal zon hijau dan tiada lagi rakyat yang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan virus Covid-19.

“Walau bagaimanapun kerajaan negeri perlu berhati-hati supaya keadaan ini dikekalkan bagi menjamin kemaslahatan rakyat,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri menyokong pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei ini.- HARAKAHDAILY 3/5/2020