Rumah RM423k tidak seheboh RM328k Mercedes

HAMPIR sehari berlalu, berita dan peristiwa Kerajaan Kelantan pimpinan YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob yang telah menganugerahkan sebuah Rumah Banglo bernilai hampir setengah juta Ringgit (RM423,000.00) kepada Johan Qari Antarabangsa kali ke-60 (2018), Ustaz Haji Abdullah Fahmi Che Nor.

Hadiah yang diberikan sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Negeri Kelantan semalam memberi satu petanda bahawa generasi yang cintakan al-Quran akan sentiasa dinobatkan sebagai tokoh dan ikutan yang terbaik semua rakyat negeri ini.

Advertisement



Ya, Ustaz Abdullah Fahmi telah harumkan nama Kelantan ke persada dunia. Beliau layak menerimanya.

Mana suara puak PH?

Agak hambar kiranya cerita Ustaz Abdullah bagi pembenci Kerajaan Negeri. Tidak pula kedengaran mereka membuat hantaran di Facebook atau tularan di Whatsapp mengatakan “membazir sahaja Kelantan bagi banglo RM423K pada Qari” atau “ulamak Kelantan dah perabis pitis rakyat pula dah, duk beri rumah free setengah juta pada qari” dan lain-lain konotasi negatif.



Tiada dan tak ada. Cuba juga mencari-cari di banyak laman web dan Facebook, namun tidak kelihatan kata-kata kebencian seperti ‘Mercedes Gate’ beberapa hari lepas.

Serangan penyokong PH terhadap Kelantan atas isu pembelian Mercedes sudah agak perlahan. Mungkin mereka sudah bosan atau juga mereka merasa amat puas hati dengan serangan sedemikian dan merasakan PAS Kelantan hampir pasti kalah dalam PRU akan datang. Mungkin itu tanggapan mereka.

Kitaran isu Mercedes Kelantan

Bagi orang Kelantan, isu beli Mercedes ini bukan isu baharu. Ia sudah banyak kali berulang-ulang. Pernah dahulu Kerajaan Kelantan membelinya untuk kegunaan rasmi, pihak pembangkang di negeri ini menyerang dan menohmah semahu-mahunya. Tapi rakyat kekal rasional, tidak mudah melatah dan terus memilih PAS.

Bahkan ada seorang mantan Exco Kerajaan Negeri yang bermati-matian pada waktu itu mempertahankan tindakan Almarhum Tok Guru membeli Mercedes dengan pelbagai alasan economical (kos penyelenggaraan dan lain-lain), faktor keselamatan, keselesaan dan sebagainya. Namun kini dia pula yang seakan-akan hilang ingatan dan mulai menyoal kenapa YAB Dato’ Ahmad Yakob menukar kenderaan lama kepada Mercedes rasmi yang baru.

Pada 10 September 2011 juga heboh dikatakan bukan sahaja Tok Guru, tetapi banyak lagi pimpinan kerajaan dan ahli keluarga yang turut memiliki Mercedes. Ianya digembar-gembur semaksimanya oleh pembenci Kerajaan Negeri, namun akhirnya rakyat tidak ‘menelan’ modal ini.

Jadi apa sebenarnya yang dicapai oleh penyokong dan pimpinan PH yang memainkan isu Mercedes beberapa hari lepas? Puas hati? Atau sudah merasakan bahawa rakyat menyebelahi mereka? Sedarlah tuan-tuan, sifir politik kebencian yang digunakan sepanjang 20-30 tahun ini di Kelantan, tidak pernah diterima rakyat. Ia kerja sia sia.

Fitnah guna RM400 juta untuk Mercedes

Antara yang kelakar dalam episod ‘kitaran serangan Mercedes’ kali ini adalah apabila ada antara penyokong PH yang menuduh Kelantan membeli kereta rasmi baru ini dengan menggunakan dana RM400 juta yang diberikan oleh Tun M. Kenapa serendah itu nilai minda mereka yang menularkan berita palsu ini?

Ia langsung tidak masuk akal. Tuan-tuan mesti dan wajib tahu, bahawa Kelantan ini anak jantan, berani dan ‘gentleman’. Sebelum orang tanya dan soal, awal-awal lagi Kelantan sudah beritahu mahu beli Mercedes.

Pada 12 September 2018 lagi, YB Timbalan Menteri Besar Kelantan menyebut hal ini. Ia bukan perkara baru.

Dalam banyak laporan akhbar telah ditulis, “Kerajaan negeri mengakui membeli kereta Mercedes Benz untuk pegawai tinggi kerajaan dengan alasan tahap keselamatan lebih terjamin selain pembelian dilakukan mengikut keperluan dan setakat ini hanya sebuah kereta dibeli untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad”.

Bahkan Kelantan mengumumkan pula bahawa Kerajaan Negeri akan membeli beberapa lagi kereta jenis Mercedes Benz untuk Exco yang tidak mempunyai kereta selain kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun.

Nah, ini semua menunjukkan betapa telusnya Kerajaan Negeri kepada rakyat dan juga pembayar cukai. Semuanya disebut secara umum sejak setahun lebih yang lampau. Namun kenapa kini baru dikecohkan semula? Mahu dikaitkan dengan dana RM400 juta? Ia amatlah tidak cerdik.

Kelantan terus dicemburui

Apa pun terjadi di negeri ini, ia terus menjadi fokus negara. Tetapi ia bagi kes untuk memburukkan imej semata-mata. Sejak dahulu ditohmah dengan pelbagai perkara negatif. Isu kemiskinan, kebajikan rakyat, isu aids, isu dadah, pil kuda, isu balak, banjir dan apa sahaja yang dirasakan boleh menjadi modal politik, ianya akan dibesarkan sehingga ke skala nasional.

Seiring dengan masa dan peredaran zaman, Kelantan sentiasa ada yang yang benci dan sakit hati dengan apa juga kejayaan. Sejak zaman Tok Guru hingga ke saat Dato’ Mad mentadbirnya. Sakitnya hati mereka apabila Kelantan terus ditadbir dengan baik. Sakitnya bertambah apabila pimpinan Kelantan tiada kes rasuah dan berkaitan integriti, sakitnya berterusan kerana tiada kes pemimpin ditangkap di disko, tiada kes dadah dan positif ‘urine test’. Tiada pimpinan yang dikaitkan dengan serangan seksual, hubungan intim berkait lelaki dengan lelaki. Mereka terus sakit hati apabila pendapatan dan hasil Kerajaan Negeri meningkat tahun demi tahun. Bajet surplus tiga tahun berturut-turut menambah derita hati. Kemuncaknya adalah apabila Tun M memberikan ‘one off’ RM400 juta kepada rakyat Kelantan, rasa sakit hati menusuk sehingga ke tulang hitam.

Lalu disebar dan dimainkan semula ‘isu Mercedes’ yang sudah dihadap rakyat negeri ini tujuh atau lapan tahun sekali sejak tahun 1990.

PAS terus cemerlang

Legasi kecemerlangan Tok Guru diteruskan oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob. Bermula 2013 sehingga kini, Kelantan terus melangkah ke hadapan. Gagasan dan pelan baik diperturunkan kepada rakyat demi melihat Dasar Membangun Bersama Islam dirasai dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Tahun 2020 pula masyhur dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan yang sedang rancak berjalan. Ia satu permulaan yang gemilang untuk rakyat negeri ini bagi awal tahun yang baharu. Sentuhan demi sentuhan daripada kebijaksanaan YAB Dato’ Menteri Besar semakin dirasai oleh rakyat.

Kita telah amanahkan negeri ini kepada PAS untuk mentadbirnya. Majoriti besar pengundi memilih PAS di semua DUN untuk melihat ekonomi Kelantan terus dipacu dengan baik. Pembangunan seimbang antara dunia dan akhirat. Dan bagi menjayakan semua agenda rakyat ini, ribuan tugasan, pertemuan, mesyuarat, aktiviti dan sebagainya wajib dilakukan oleh seorang pemimpin yang seakan-akan tidak kenal erti penat dan lelah.

Sebutir ‘kuda besi dari Jerman’ demi tugasan rasmi kerajaan, untuk rakyat, tidaklah menjadi satu persoalan besar kerana untuk urusan peribadi, basikal tua buatan Jepun lebih selesa dikayuh pagi dan petang.

Inilah manisnya sebuah perjuangan. Semakin dihina dan diherdik, semakin manis dirasai jalan dakwah. Biarlah pembenci Kelantan berterusan menyerang, dalam kesedihan mereka di Kimanis.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 19/1/2020