Janji peralihan kuasa tidak sah menurut Islam

KUALA LUMPUR: Perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disensasikan oleh pihak-pihak tertentu sewajarnya dibicarakan dalam konteks Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sebarang perjanjian dalam Islam tidak boleh dibuat secara bermudah-mudah, apatah lagi melibatkan pemerintahan negara yang sangat berkait dengan Islam yakni punyai syarat dan rukun.

“Jadi tak bolehlah nak janji serah kuasa, serah kuasa begitu sahaja. Nak janji lantik orang ini jadi Perdana Menteri. Bukan mudah begitu. Dalam Islam, semua perjanjian mesti kena ikut hukum Islamlah, kalau kita orang Islam.

“Kita tak tanya DAP, kita tanya orang Islam sahaja. Kena ikut hukum Islam. Hukum Islam mesti jaga dia punya syarat-syarat dia. Jaga dia punya rukun-rukun. Kalau tak cukup syarat, tak cukup rukun, janji itu tak sah,” tegasnya di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.

Beliau mengingatkan supaya perkara itu tidak diberi tekanan, tetapi mesti dilihat sama ada ia sah atau sebaliknya dengan menepati hukum Islam dan juga maqasid syariat yang selalu diulang sebut banyak pihak di mana terbesar adalah mesti menjaga agama.

Sebaliknya tegas beliau, janji untuk melakukan peralihan kuasa tanpa ditetapkan untuk menjaga Islam adalah haram, apatah lagi perkara tersebut dan juga jawatan Perdana Menteri itu bukan menjadi hak milik yang boleh dijanjikan untuk diberikan kepada sesiapa.

Sedangkan jelasnya, jawatan tersebut adalah milik rakyat yang mesti diserahkan penentuannya menerusi rakyat atau wakil-wakil rakyat dan kerana itulah adanya kepercayaan menerusi undi sama ada dibuat di Parlimen atau melalui pilihan raya.

“Kalau tunggu letak pun, kena kepercayaan daripada rakyat. Wakil rakyat kalau rakyat tak percaya tak boleh. Bukan pakai begitu-begitu saja. Jadi moralnya begitu, mesti begitu. Rukun dia pula dalam Islam ini, yang pertama niat. Niat itu ikhlas kerana Allah Taala. Kalau niat itu tak ada kerana Allah Taala, (sedangkan) itu hak Allah Taala, bukan hak kita.

“Yang kedua ada ijab, ada qabul. Ijab ini ialah lafaz kita serah, saya serahlah kuasa ini. Atau qabul ini saya terima. Macam orang jual beli, saya juallah, saya terimalah jual beli. Orang kahwin, saya kahwin engkau, saya terima perkahwinan itu. Saya wakilkan, saya terima wakil ini. Ada ijab, ada qabul.

“Yang keduanya ialah perkara yang dijanji itu, tempat, masa dia. Ini tak ada, kosong. Kosong. Kalau kosong, tak cukup syaratlah. Rukun pun tak cukup, syarat pun tak cukup. Dari segi Islamnya bukan janji itu. Cakap-cakap, atau wakaf saja. Cakap-cakap saja, bukan janji,” perjelas beliau.

Malah tegas Ahli Parlimen Marang itu, syarat dan rukun tersebut mestilah menepati dengan Islam dalam menentukan ianya sah atau tidak dan bukannya boleh direka cipta sewenangna biarpun diletakkan 100 syarat atau rukun.

“Sepatutnya kita tak boleh anggap kepimpinan negara ini macam tukar driver bas, saya mengajar tadi. Tukar driver bas pun, kalau kita nak pergi Kuala Lumpur, nak tukar driver, driver, driver yang bawa ke Kuala Lumpur juga. Kalau kita nak pergi ke Kuala Lumpur, tukar driver yang bawa ke Pulau Pinang, mana boleh, tak sampailah dia punya tujuan itu.

“Jadi mesti kena itulah, banyak itu. Itu bawa bas ekspres, nak memerintah negara ini bukan macam bas ekspres. Sepatutnya utamakan janji manifesto. Ini yang bertulis, yang ditulis manifesto. Cuma malangnya, PH ini janji banyak parti, masing-masing parti ada janji dia. DAP ada janji dia, PKR ada janji dia, semua ada janji.

“Individu-individunya ada janji dia masa pilihan raya, masing-masing buat janji. Jadi kita fikirlah macam mana Perdana Menteri nak buat kalau banyak sangat janji ini. Hat dia tak berjanji, orang lain buat berjanji, tak akan dia nak pikul. Saya percaya tak akan dia nak pikul janji orang lain buat, tak ada pasal-pasal macam pikul biawak hidup saja.

“Itu satu benda yang sangat beratlah. Jadi banyak sangat janji. Bila tak boleh buat, kita nak salahkan orang lain? Tak bolehlah. Kita yang berjanji nak turunkan harga minyak dalam masa 24 jam, nak hapuskan PTPTN, macam-macam jenis janji yang dibuat. Yang bertulis pun tak dibuat. Yang tak bertulis itu banyak kumpulnya.

“Kalau janji bersepakat itu, itu boleh buat sama-sama. Kalau janji masing-masing, masing-masing parti berjanji, DAP berjanji nak buat Pilihan Raya Perbandaran. Parti-parti lain tak nak bersetuju, macam mana dia buat janji begitu? Pimpinan PKR pula berjanji nak turunkan harga minyak, tak turunkan tol, pakai begitu saja, 24 jam nak turun serta-merta.

“Banyaknya janjinya. Jadi benda-benda yang macam ini sepatutnya kena insaflah, kena sedar. Dan jangan duduk, lepas itu nak berkelahi sesama sendiri, nak salahkan orang lain, itu tak boleh. Kalau kelahi, kalau sesama sendiri pun berkelahi, macam mana nak memerintah negara?” soalnya.

Ditanya sama ada perlu Parlimen dibubarkan, beliau menegaskan hal tersebut terserah kepada pihak yang mempunyai kuasa majoriti, namun mengingatkan supaya tidak menyusahkan rakyat sebaliknya dilaksanakan dengan proses sebetulnya.

Beliau memaksudkan kada proses undang-undang, Perlembagaan, dan demokrasi, bahkan menafikan Tun Mahathir telah berbohong kerana pihak tidak mengikut syarat telah berlaku secara bebal dan desakan dibuat itu juga salah serta tidak mengikut agama.

“Tak mengikut Islam, tak mengikut proses demokrasi. Demokrasi Barat pun tak begitu. Kalau demokrasi Barat, ada surat perjanjian, ada macam-macam, banyak lagilah. Ada yang Baratnya, Islam terima. Ini Islam pun tak ikut, proses demokrasi Barat pun tak ikut, dua-dua itu tak ikut,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2020