Lim Guan Eng ternyata tidak bermaruah

SETELAH hampir dua tahun berjaya memegang tampuk pemerintahan negara, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sehingga kini masih juga belum menunaikan janjinya untuk membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan seperti yang terdapat dalam Manifesto PH pada PRU ke-14 lalu.

Sehingga kini jika ada saluran yang dibuat oleh Kerajaan Pusat kepada Kelantan berhubung petroleum, yang disalurkan itu bukan royalti, tetapi wang ihsan, dengan jumlahnya yang amat kecil dan perkiraannya yang amat jauh berbeza berbanding royalti.

Contohnya pada 17 September 2019 lalu, Kerajaan Pusat telah menyalurkan sebanyak RM15.7 juta kepada Kelantan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula mengatakan Kerajaan Pusat telah memberi royalti kepada Kelantan pada hari itu dalam kenyataannya pada keesokan harinya.

Pada hal, kenyataan Menteri Kewangan itu tidak benar dan mengelirukan rakyat. Yang dituntut oleh Kerajaan Kelantan adalah royalti minyak dan wang gas, tetapi yang diberi atau yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat itu adalah wang ihsan.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob sendiri dalam kenyataannya pada 15 Oktober 2019 lalu mengesahkan bahawa kenyataan Lim Guan Eng mengenai pemberian wang sebanyak RM15.7 juta kepada Kelantan itu adalah berkenaan wang ihsan, bukannya wang royalti.

Malah dalam kenyataannya ketika menjawab soalan tambahan dalam Persidangan Dewan Undangan (Dun) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu itu, Dato’ Ahmad secara tegas menyatakan bahawa wang ihsan dan royalti mempunyai perbezaan yang terlampau jauh. Perkara itu boleh dirujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Wang ihsan nak beri pun tak apa, tak beri pun tak apa tetapi royalti hak kita, kewajipan hendaklah dibayar kepada Kerajaan Kelantan. Saya maklumkan kepada Ahli Dewan pada 17 September lalu sebanyak RM15,749,561.50 diberikan di bawah tajuk wang ihsan kepada Kelantan 2019,” katanya.

Sedangkan, menurut Dato’ Ahmad lagi, jika bayaran royalti, jumlah yang mesti dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Kelantan jauh lebih besar daripada angka tersebut.

“Sebagai contoh, pada 2017 sahaja, royalti yang sepatutnya diperoleh Kelantan sebanyak RM1.03 bilion. Ini sumber yang kita dapat melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri. Untuk jumlah keseluruhan, saya perlukan notis,” jelas Dato’ Ahmad.

Bagaimanapun, dalam persidangan Dewan Rakyat, Lim Guan Eng tanpa rasa bersalah di atas putar belitnya itu cuba memburukkan Kerajaan Kelantan pula dengan mengatakan Kerajaan Kelantan terpaksa memohon pinjaman daripada Kerajaan Pusat kerana ketiadaan wang untuk membayar gaji kakitangannya.

Lim Guan Eng sanggup membuat kenyataan sehina itu walaupun seluruh rakyat negara ini dan beliau sendiri pun tahu bahawa Kerajaan Kelantan sejak dulu hingga kini tidak pernah tidak membayar gaji kakitangannya, malah tidak pernah kekeringan wang untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Tindakan Kerajaan Kelantan memohon pinjaman tersebut bukanlah kerana kekeringan wang, tetapi sememangnya berdasarkan hak Kerajaan Kelantan sendiri terhadap Kerajaan Pusat. Keadaan itu samalah juga dengan Kerajaan Negeri-negeri lain terhadap Kerajaan Pusat di negara ini.

Selain itu, tindakan Kerajaan Kelantan memohon pinjaman tersebut juga disebabkan kesilapan Kerajaan Pusat sendiri yang enggan menyalurkan wang yang sepatutnya kepada Kerajaan Kelantan, dalam keadaan Kerajaan Pusat sendiri masih mempunyai hutang yang begitu besar kepada Kerajaan Kelantan termasuk royalti petroleum, gas dan premium tanah.

Dalam keadaan itu pun, Kerajaan Kelantan seperti yang diketahui umum tetap juga berupaya mentadbir Kelantan dengan baik yang bukan sahaja berupaya membayar gaji kakitangannya dengan baik setiap bulan, tetapi juga mampu menunaikan kewajipannya dalam membangunkan negeri dan melaksanakan kebajikan kepada seluruh rakyatnya, dengan sumber-sumber yang ada yang amat terhad.

Terbaru, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menyerlahkan niat jahatnya lagi terhadap Kelantan menerusi kenyataannya pada 10 Februari lalu dengan mengatakan Malaysia akan ditarik ke zaman gelap seperti di Kelantan di bawah sebuah kerajaan yang didominasi oleh orang Islam yang memusuhi minoriti bukan Islam, sekiranya kerjasama politik Pakatan Nasional yang digembar-gemburkan menjadi kenyataan.

Dalam kenyataannya itu, Lim Guan Eng turut menyatakan bahawa Pakatan Nasional merupakan ancaman yang jelas dan nyata terhadap cara hidup Malaysia berikutan pengumuman pemimpin PAS bahawa mereka tidak mahukan Menteri Kabinet bukan Islam, terutama untuk jawatan penting seperti Menteri Kewangan, walaupun tidak wujud halangan sedemikian dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan-kenyataan jahat Lim Guan Eng itu jelas menunjukkan beliau selaku Menteri Kewangan sememangnya tidak berhasrat untuk membantu Kelantan, sebaliknya terus berusaha untuk menekan dan memburukkan Kerajaan Kelantan dengan pelbagai cara.

Sudahlah royalti kepada Kerajaan Kelantan sehingga kini tidak dibayar, tetapi diputar belitkan pula dengan bayaran wang ihsan sebagai bayaran royalti petroleum, beliau menuduh pula keadaan di Kelantan yang berada di bawah pemerintahan PAS sebagai keadaan yang gelap, walaupun dakwaan beliau itu ternyata menyeleweng daripada realiti sebenar.

Realiti itu bukan sahaja boleh disahkan oleh rakyat Kelantan sendiri tetapi juga oleh seluruh rakyat negara ini jika pihak-pihak yang dirujuk itu sememangnya orang yang berautoriti dan bercakap jujur.

Gelap Kerajaan Kelantan hanyalah gelap dari segi harapan terhadap Lim Guan Eng yang sehingga kini masih tidak melaksanakan janji Kerajaan PH untuk membayar wang royalti petroleum kepada Kelantan, walaupun pembayarannya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Jadi, di manakah maruah Lim Guan Eng terhadap Kerajaan Kelantan, terhadap seluruh rakyat Kelantan dan terhadap seluruh rakyat negara ini sehingga tergamak membuat kenyataan hina itu terhadap Kelantan, dalam keadaan beliau sendiri yang sememangnya tidak bertanggungjawab yang tidak membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan walaupun Perdana Menteri sendiri yang telah bersetuju untuk berbuat demikian.

Jika Lim Guan Eng bermaruah, beliau tidak sanggup membuat kenyataan sedemikian, termasuk kenyataan mengenai Pakatan Nasional yang tidak tentu hujung pangkalnya, dalam keadaan beliau sendiri sememangnya berada di bawah Perdana Menteri dan dalam keadaan beliau sendiri yang tidak tahu melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan baik.

Apalah gunanya beliau menuding jari kepada orang lain jika jari yang dituding sebenarnya tertuding kepada dirinya sendiri. Manusia yang bermaruah pasti tidak sanggup berbuat demikian, kecuali jika orang itu sendiri tidak tahu erti maruah dan tidak tahu menjaga maruah dirinya sendiri.

AZIZ MUDA – HARAKAHDAILY 14/2/2020

Advertisement