MTNAS hantar para huffaznya ke ‘Ardul Kinanah’

LARUT: Maahad Tahfiz Nur As-Salam (MTNAS) yang diasaskan Ustaz Mahizam Ahmad sejak 2003 terus melakar usaha dalam meninggi dan memartabatkan Pendidikan Islam dipersada ummah.

Advertisement

Terbaharu, MTNAS telah membuka cawangannya di Mesir yang sekali gus membolehkan para pelajarnya menyambung pengajian mereka di sana dalam bidang Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Qira’at.

ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya ketika kunjungan mahabah beliau ke MTNAS di Selama Perak minggu lalu menyatakan harapan besar terhadap generasi lepasan institusi ini selaku pemimpin ummah masa depan.

Beliau yang juga Alumni Al-Azhar Mesir turut menyifatkan kegigihan Ustaz Mahizam membangunkan MTNAS adalah inisiatif yang tidak mudah apatah lagi dengan cabaran kewangan untuk mengoperasikannya.

Namun katanya, berkat usaha itulah membolehkan MTNAS setiap tahun melahirkan para huffaz yang bukan sahaja mempunyai ilmu agama, bahkan juga kemahiran profesional untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Sebagai menyokong usaha MTNAS, Ustaz Khalil menyeru para dermawan menghulurkan sumbangan yang boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5582 1151 4222 atas nama Maahad Tahfiz Nur As-Salam. – HARAKAHDAILY 22/2/2020