PRIHATIN: Bersegeralah berbuat perkara baik

KEPRIHATINAN pihak Kerajaan ketika berhadapan situasi pandemik melawan penularan wabak COVID-19 wajar diberikan pujian dan memenuhi keperluan rakyat ketika ini.

Malah berita gembira yang diumumkan pihak Kementerian Kewangan bahawa bayaran insentif B40 diawalkan bermula 6 April 2020 dan M40 pula bermula 13 April 2020.

Sudah pastinya, bantuan tersebut amat bermakna kepada mereka yang sangat memerlukan dana kewangan bagi menyara hidup ketika ini dan bersyukurlah dengan apa yang diperolehi.

Advertisement

Namun pada saat dan ketika ini kita perlu juga melihat sekeliling rumah kita khususnya atau sekurang-kurangnya masyarakat kejiranan kita yang masih memerlukan sedikit simpati kita.

Inilah sikap sebenar seorang Muslim yang tidak hanya mementingkan diri sendiri sebaliknya berkongsi apa yang ada dengan orang lain, tidak perlu menanti kita kaya baru ingin memberi sesuatu.

Begitulah asas sebuah kehidupan, rezeki itu diluaskan dengan amalan bersedekah yang sangat dituntut Rasulullah S.A.W sebagaimana maksud Hadis yang masyhur untuk kita sama-sama amalkan. Diriwayatkan Muslim, Al-Nasa’i, At-Tirmizi dan Abu Daud;

“Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh atau solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.

Maka, bersegeralah dalam berbuat kebaikan dan usahlah bertangguh menanti itu dan ini kerana sesungguhnya segalanya datang daripada Allah S.W.T untuk hambaNya dengan cukup.

Malah sebahagiannya pula menjadi hak orang lain yang mana disalurkan melalui kita serta perlu dingat bahawa orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 271 yang bermaksud;

“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Jelas kepada kita bahawa, setiap usaha kita dalam berbuat kebaikan khususnya bersedekah pastinya dinilai oleh Allah S.W.T baik secara kecil-kecilan atau besar-besaran mengikut kemampuan tersendiri.

Bagi mereka yang menjadi ‘figure’ dalam masyarakat sewajarnya ditunjukkan secara terbuka supaya menjadi tauladan dengan galakan orang lain juga berterusan membuat amal baik.

Lebih-lebih lagi sebagai persediaan kita menemui Ramadhan Kareem yang sangat dinantikan, terhidang luas peluang untuk mendapat pahala berganda.

Beri mereka barangan makanan, keperluan harian seperti susu anak, lampin pakai buang serta ubat-ubatan di samping khidmat nasihat yang baik dapatlah meringankan beban mereka yang akhirnya kita hidup sejahtera bersama.

Hakikat ini tidak akan dirasai jika belum pernah ada pengalaman serta berpegang kepada falsafah;

“Tidak boleh buat semua jangan ditinggalkan semuanya.”

Yakin dan percaya kepada ayat al-Qur’an dalam surah Ali-‘Imran, 92;

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Oleh: ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 7/4/2020