Malaysia di ambang krisis ekonomi

HARGA minyak mentah dunia boleh merudum sehingga USD25 se-tong dalam masa terdekat. Lebih buruk daripada krisis yang melanda pada tahun 2014/2015. Kejatuhan harga minyak dunia sebanyak – 30 peratus berpunca daripada dua faktor utama. Pertama, penularan wabak Covid-19 yang melemahkan permintaan. Kedua, persaingan harga dan lambakan pengeluaran minyak antara Arab Saudi dan Rusia.

Advertisement

Umum mengetahui penularan wabak Covid-19 merencatkan banyak aktiviti ekonomi global dan domestik khususnya bagi sektor perkhidmatan. Sub-sektor pengangkutan, pelancongan, penginapan dan peruncitan telah terkesan teruk sehingga mencatatkan kerugian akumulatif menjangkau bilion ringgit. Malah, pasaran buruh turut menerima tempias akibat pemberhentian kerja dan pembekuan pengambilan pekerja baharu.

Sementara itu, Arab Saudi pula tidak bercadang untuk menghadkan pengeluaran bagi menstabilkan harga. Sebaliknya, Arab Saudi menyasarkan peningkatan melebihi 10 hingga 12 juta tong sehari dengan harga lebih rendah atau diskaun lebih tinggi kepada pasaran eksport tertentu. Tindakan tersebut akan menjejaskan negara pengeluar lain seperti Rusia dan kini negara-negara pengeluar memasuki zon perang harga minyak.

Bursa Malaysia (FBMKLCI) dibuka dengan kejatuhan 50 mata hari ini. Beberapa kaunter berkaitan minyak dilihat melakukan penjualan panik. Tahun lepas, mantan Menteri Kewangan menggubal Belanjawan 2020 berpandukan harga minyak USD60 se-tong dan kini dalam Suku Pertama 2020, harga minyak telah mencecah USD30 se-tong. Setiap kejatuhan USD1 se-tong, pendapatan Malaysia akan hilang sebanyak RM300 juta.

Pergantungan negara terhadap sumber minyak meningkat kepada 33 peratus daripada 12 peratus ketika era Pakatan Harapan. Hal ini termasuk penjarahan yang dilakukan oleh mantan Menteri Kewangan ke atas hasil PETRONAS yang dikatakan untuk membayar jumlah tunggakan Cukai Pendapatan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan sejak 2017/2018. Akhirnya, Malaysia berhadapan dengan situasi kritikal dan di ambang krisis ekonomi akibat sumber pendapatan negara yang terjejas teruk.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN – HARAKAHDAILY 9/3/2020