Batal penurunan harga rumah warga asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dicadangkan supaya membatalkan keputusan menurunkan harga minima hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing dari RM1 juta kepada RM600,000.

Keputusan itu diumumkan oleh bekas Menteri Kewangan pada Belanjawan 2020 bulan Oktober tahun lalu, dengan tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka kerajaan yang baru perlu membatalkan peraturan yang dipertikaikan banyak pihak itu.

Ketua Penyelaras Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, alasan peraturan berkenaan sebelum ini adalah untuk membantu pemaju-pemaju yang gagal menjual hartanah mereka.

“Walau bagaimanapun masih banyak pemaju yang melancarkan projek-projek dengan harga jualan melebihi RM500,000 seunit.

“Adakah projek-projek ini dilancarkan khusus untuk warga negara asing? Justeru itu kerajaan tidak sepatutnya membantu pemaju-pemaju seperti ini yang sepatutnya telah membuat kajian pasaran (market reasearch),” katanya kepada Harakahdaily.

Advertisement

Menurutnya,Kerajaan sepatutnya membantu pemaju membina rumah mampu milik kerana rakyat masih menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, harga minima RM600,000 adalah rendah berbanding dengan pendapatan rakyat di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong.

“RM600,000 adalah 196,656 Dollar Singapura (SGD) atau 1,124,279 Dollar Hong Kong (HKD).

“Sebagai perbandingan kita perlu melihat nilai harga rumah RM600,000 itu dan pendapatan rakyat di negara-negara yang menjadi sasaran pemaju Malaysia itu,” jelasnya.

Tambah Bendahari PAS Pusat itu, median pendapatan isi rumah di Malaysia adalah RM6,275 sebulan (M40) dan harga rumah RM600,000 ini bersamaan dengan 95.60 bulan pendapatan bulanan mereka.

Sementara bagi rakyat Singapura katanya, pendapatan median isi rumah mereka adalah 9,293 SGD atau RM28,325 dan ini bersamaan dengan hanya 21.16 bulan pendapatan bulanan mereka.

Bagi rakyat Hong Kong pula, pendapatan median isi rumah adalah 28,100 HKD atau RM14,974 dan ini bersamaan dengan 40.00 bulan pendapatan bulanan mereka.

“Oleh yang demikian, harga rumah minima yang dilonggarkan itu adalah terlalu rendah bagi mereka. Rakyat negara asing tidak akan menghadapi masalah untuk membelinya dan rumah-rumah tersebut akan laku dijual seperti ‘pisang goreng panas’,” katanya lagi.

Lantaran itu katanya, polisi ini akan menyebabkan komposisi bandar-bandar akan berubah, begitu juga struktur masyarakat akan berubah dengan kebanjiran warga-warga asing ini.

Iskandar berkata, polisi baru yang dibuat oleh PH dahulu menambahkan lagi masalah dalam usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu kedatangan tenaga kerja asing.

“Kerajaan yang baru mesti membuktikan mereka berbeza dari kerajaan sebelum ini. Polisi-polisi yang tidak menguntungkan rakyat mesti dibatalkan atau dipinda,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2020