Hadis: Seorang Mukmin tidak mungkin berbohong

ISLAM memuji dan sangat menghargai kejujuran. Sedang perbuatan menipu dan berdusta sangat tercela di sisi Islam.

Advertisement

Allah S.W.T berfirman:

فَلَوْ صَدَقُوا اللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ

“Tetapi jikalau mereka berlaku jujur pada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.”

(Muhammad: 21)

Seorang Mukmin tidak mungkin berbohong. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa seorang Mukmin boleh jadi pengecut dan kedekut, tapi tidak mungkin sama sekali berbohong:

قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ جَبَانًا ؟ فَقَالَ: ( نَعَمْ ) ، فَقِيلَ لَهُ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ بَخِيلًا ؟ فَقَالَ: ( نَعَمْ ) ، فَقِيلَ لَهُ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ كَذَّابًا ؟ فَقَالَ: ( لَا ).

“Ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W, “Mungkinkah seorang Mukmin itu pengecut?”. ”Mungkin,” jawab Rasulullah. “Mungkinkah seorang Mukmin itu bakhil?”. ”Ya, mungkin,” lanjut Rasulullah. “Mungkinkah seorang Mukmin itu pembohong?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “Tidak!”.”

(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ & Imam al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman)

Ketika ini, frontliners KKM sedang tersangat sibuk berusaha menangani wabak COVID-19. Mereka berisiko tinggi terdedah pada bahaya jangkitan virus tersebut. Namun, amat dikesali apabila masih ada rakyat yang mementingkan diri sendiri, sanggup menipu rekod perjalanan dan mempunyai hubungan rapat dengan pesakit COVID-19. Sikap buruk ini membahayakan nyawa banyak pihak lain. Menipu di saat situasi genting dalam urusan yang berkait hidup dan mati, menggambarkan kemunduran akal dan kurang adab dalam diri.

Ingatlah wasiat Rasulullah S.A.W bahawa Baginda menjamin kedudukan di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan dusta sekalipun bergurau:

أَنَا زَعِيْمٌ بِبَيْتٍ فِيْ رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِيْ وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِيْ أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ.

“Abu Umamah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun sekadar bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Pada hadis yang lain Rasulullah turut bersabda;

مَوْضِعُ سَوْطٍ فِى الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

“Satu bahagian kecil nikmat di syurga lebih baik dari dunia dan seisinya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Ya Allah, mudahkanlah hamba-Mu untuk sentiasa memiliki akhlak mulia ini, selalu berlaku jujur dalam segala hal.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 23/3/2020