11 kawasan diwarta zon merah – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 11 daerah yang dikategorikan sebagai zon merah dengan penularan wabak Covid-19 melebihi 41 kes.

Antara daerah yang terlibat iaitu Lembah Pantai dengan 167 kes positif Covid-19, Petaling Jaya (167), Hulu Langat (132), Seremban (78), Johor Bahru (68), Kluang (54), Gombak (53), Titiwangsa (49), Kota Bharu (48), Hilir Perak (48) dan Kinta (41).

Advertisement

Berikutan itu, penduduk di semua daerah tersebut dinasihati supaya meningkatkan lagi langkah pencegahan.

“Ingat, duduk di rumah dapat memutuskan rantaian Covid-19. Duduk di rumah demi kebaikan diri anda sendiri. Duduk di rumah demi kesihatan ibu, ayah, anak-anak kecil mahupun datuk dan nenek kita,” kata KKM dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataanya menyenaraikan dua kawasan di negeri Johor telah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kawan tersebut merangkumi Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Katanya, perintah ini berkuatkuasa 27 Mac sehingga 9 April 2020 susulan jumlah kes positif yang tinggi di dua kawasan tersebut.

Tindakan PKPD ini bertujuan membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Katanya, dengan pelaksanaan PKPD penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Manakala, mereka yang bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut, semua aktiviti perniagaan dihentikan dan makanan asas akan dibekalkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) kepada semua penduduk.

Selain itu, pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPD, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup dan pihak PDRM, ATM, APM, dan RELA akan mengawal seluruh kawasan berkenaan.- HARAKAHDAILY 27/3/2020