Covid-19: 7 kematian, 152 kes baharu hari ini

KUALA LUMPUR: Kematian akibat wabak berjangkit Covid-19 di Malaysia mencatatkan penambahan sebanyak 7 kematian menjadikan mangsa korban keseluruhan adalah 34 berbanding semalam sebanyak 27.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan bahawa kes baharu positif Covid-19 mencatatkan peningkatan sehingga 152 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 2,470.

Selain itu, pesakit yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencatatkan peningkatan iaitu 73 pesakit dengan 52 daripada memerlukan bantuan alat pernafasan.

Advertisement

Setakat ini, kes aktif adalah sebanyak 2,048 kes dan pesakit Covid-19 yang didiscaj hari ini adalah 68, iaitu yang tertinggi yang didiscaj setakat ini menjadikan keseluruhan yang sembuh adalah 388 orang.

“Kes kematian ke-28 merupakan seorang wanita tempatan berusia 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, dan penyakit buah pinggang serta dirawat di PPUM pada 26 Mac, meninggal dunia 28 Mac, jam 8.48 pagi tadi.

“Sementara itu, kes kematian ke-29 juga merupakan seorang wanita warganegara berusia 64 tahun serta memiliki latarbelakang penyakit kronik iaitu kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac, jam 10.15 malam, semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, kes kematian ke ke-30 pula merupakan lelaki tempatan berusia 76 tahun dan turut mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di PPUM dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac jam 11.33 malam.

Manakala, kematian ke ke-31 merupakan seorang lelaki berumur 27 tahun dan turut mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau dirawat di PPUM pada 27 Mac dan meninggal dunia pada 28 Mac, semalam.

“Kes kematian ke ke-32 juga lelaki tempatan berusia 50 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 22 Mac dan meninggal 28 Mac pada jam 7.44 malam,” ujarnya lagi.

Sementara itu, kes kematian ke ke-33 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun yang mana mempunyai sejarah perjalanan ke negara India. Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac dan disahkan meninggal dunia semalam pada 11.25 malam.

Katanya lagi, kematian ke ke-34 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan beliau dirawat di Hospital Kulala Lumpur pada 18 Mac, kemudian disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 10.40 pagi tadi.

Menurut Noor Hisham, daripada 34 kes kematian Covid-19 yang direkodkan didapati 55.6 peratus adalah berumur 60 tahun ke atas dan 67.6 peratus mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jangtung.

“Mereka lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 dengan lebih serius iaitu mengalami gejala dan komplitasi yang lebih teruk.

“Oleh itu adalah lebih penting bagi mereka dan keluarga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti,” katanya.

Berikutan itu, beliau menasihatkan mereka yang mempunyai penyakit kronik supaya memastikan bekalan ubat mencukupi dan tidak terputus.

Katanya, perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti KKM masih lagi diteruskan khususnya bagi mereka yang mempunyai temu janji, rawatan susulan dan mendapatkan bekalan ubat.- HARAKAHDAILY 29/3/2020