Duta Khas: PAS ucap terima kasih kepada PM

PAS amat berterima kasih dan menghargai kepercayaan Perdana Menteri melantik Presiden PAS sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Advertisement

PAS merasakan perlantikan tersebut membolehkan Presiden PAS turut membantu Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengharmonikan lagi hubungandiplomatik dan antarabangsa khususnya dengan Negara-negara Timur Tengah. 

Presiden PAS sebagai Duta Khas tentulah akan bekerjasama erat dengan Menteri Luar, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dan Wisma Putra.

PAS dalam hal ini turut menafikan dakwaan bahawa tindakan Perdana Menteri melantik Presiden PAS sebagai suatu usaha memujuk dan memenangi hati ahli-ahli PAS. 

Ini kerana PAS lebih-lebih lagi Presidennya tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam Kerajaan, sebaliknya bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

Tubuh Jawatankuasa Hisbah

Sehubungan dengan itu juga, PAS akan melantik satu Jawatankuasa Penasihat berbentuk ‘Hisbah’ bagi memantau tugas dan menasihati anggota Kerajaan daripada kalangan PAS agar mereka dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan jujur dan terbaik.

Memandangkan Presiden PAS turut berada dalam Kerajaan, mungkin Jawatankuasa itu akan dilantik dari kalangan pimpinan Majlis Syura Ulamak PAS. 


Sebelum ini PAS mempunyai Jawatankuasa Penasihat Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden PAS.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS.

HARAKAHDAILY 3/4/2020