1500 PPE disumbangkan buat ‘frontliner’

RAWANG: KHIDMAT Malaysia dan beberapa pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah tampil membantu menyediakan beberapa kelengkapan untuk petugas “frontliner” terutama di pusat-pusat perubatan dan hospital yang menjadi pusat kuarantin pesakit COVID-19.

Advertisement

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh semasa kunjungan beliau ke Hospital UiTM, Sungai Buloh,di sini hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Dr Aisyah Nizar yang mewakili hospital tersebut.

Kata beliau, sumbangan tersebut untuk membantu mereka yang bertugas sebagai frontliner sepanjang tempoh PKP wabak Covid-19 ini.

“Kita rasa terpanggil untuk membantu mereka ini memandangkan peralatan sebegini sememangnya amat diperlukan terutama diketika ini,” ujar beliau.

Setakat ini kelengkapan yang disumbangkan berupa pakaian perlindungan dan pelindung muka yang dibuat sendiri oleh ahli-ahli NGO.

Sementara sebanyak 1500 unit pakaian perlindungan (PPE) telah diedarkan ke beberapa buah hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehubungan itu, Ustazah Nuridah mengharapkan agar kakitangan yang terlibat dapat bersabar dan banyakkan berdoa serta bermunajat ke hadrat Allah agar dipermudahkan segala urusan.

HARAKAHDAILY 8/4/2020