Nuzul Quran: Sebuah penghayatan

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡیَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۗ یُرِیدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡیُسۡرَ وَلَا یُرِیدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

[al-Baqarah: 185]

Advertisement

Sejarah Nuzul Quran (penurunan wahyu al-Quran) merupakan sebuah sejarah yang hebat menjadi panduan dan perlembagaan kepada seluruh umat Islam. Nikmatnya Ramadan ini, Allah menyediakan ganjaran rahmat, maghfirah (keampunan) serta pembebasan daripada api neraka dan banyak lagi ganjaran lainnya. Mengenai ganjaran bagi amalan berpuasa ini, terdapat sebuah Hadis Qudsi:

كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به

“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.”

(Hadis Riwayat Bukhari dalam Shahihnya: 7/226 dari hadis Abu Hurairah R.A)

Hanya Allah S.W.T sahaja yang memberi balasan kepada hamba-Nya yang berpuasa, menguji sekuat mana kekentalan iman di hati. Al-Quran telah diturunkan pada bulan Ramadan, maka bermulalah syariat Allah sebagai pelaksanaan di dalam kehidupan. Sebelum itu Baginda S.A.W menyebarkan dakwah dengan keadaan untuk mentauhidkan Allah, membawa mereka melaksanakan kebaikan dan menghindarkan mereka daripada melakukan kejahatan. Turun sahaja wahyu ini, maka kehidupan manusia diatur dengan perundangan yang Allah tetapkan di dalam al-Quran. Al-Quran berfungsi sebagai petunjuk untuk seluruh manusia. Petunjuk dalam pelbagai aspek antaranya mengenai ibadah, panduan dalam berumahtangga, berjual-beli, masalah pusaka, bab jenayah dan banyak lagi. Sebagai orang yang beriman, jangan sesekali kita meragui al-Quran. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah:

الۤمۤ (1 ) ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ (2 )

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan mengenai sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

[al-Baqarah: 1 – 2]

Al-Quran merupakan kalamullah, yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W di dalam Bahasa Arab dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas. Al-Quran diturunkan selama tempoh 23 tahun secara mutawatir (beransur-ansur). Hal ini untuk memantapkan hati Rasulullah S.A.W. Ayat-ayat al-Quran juga diturunkan berdasarkan beberapa peristiwa yang berlaku.

Amalan memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Ramadan ini amatlah digalakkan. Membaca, tadabbur (menghayati) dan mengamalkannya. Al-Quran juga merupakan penawar dan menyelamatkan kita daripada pelbagai kerosakan.

Kesan al-Quran di dalam kehidupan kita adalah mendapat ketenangan di dalam hati dan menjadi syafaat bagi yang membacanya. Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya dan orang yang sentiasa melaziminya akan bertambah keberkatan di dalam kehidupannya dan kehidupan orang di sekelilinya. Akhirnya, semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita sifat cintakan al-Quran dan seterusnya mengurniakan kepada kita zuriat-zuriat yang sentiasa melazimi al-Quran di dalam kehidupan kita agar al-Quran akan datang kepada kita di hari akhirat sebagai pembantu atau pemberi syafaat kepada kita.

Mari sama-sama kita memohon kepada Allah dengan membaca doa ini:

“Ya Allah, sinarilah hati kami dengan membaca al-Quran. Hiasilah akhlak kami dengan kemuliaan al-Quran. Baguskanlah amalan kami dengan berzikir serta bertadarrus al-Quran. Selamatkanlah kami dari api neraka kerana kemuliaan al-Quran. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu dengan syafaat al-Quran. Aamiin.”

Semoga kita diberi petunjuk oleh Allah untuk memahami segala perkara yang diajar oleh Rasulullah S.A.W dengan berpandukan al-Quran. Perkara yang berkait dengan syariat yang perlu untuk kita laksanakan di dalam kehidupan seharian kita semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Sudah pasti sifat kita sebagai seorang hamba Allah S.W.T adalah sentiasa berharap kepadaNya agar amalan kita diterima olehNya dan digolongkan dalam golongan orang yang bertakwa.

USTAZ HAJI KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Johor
Yang Di Pertua PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 9/5/2020