Semak, imbang versi Malaysia

SEBELUM persidangan parlimen diadakan pada 18 Mei 2020, kita melihat dan membaca beberapa hantaran kenyataan yang menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk mengadakan persidangan secara atas talian.

Antara figura politik yang lantang menggesa Parlimen mengadakan persidangan parlimen adalah Lim Kit Siang. Pada 3 April, LKS telah meminta kerajaan mengadakan parlimen maya untuk membincangkan cara mendepani COVID-19 dan kesannya terhadap sektor ekonomi. Malah LKS sebelum itu telah beberapa kali meminta sidang parlimen diadakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Selain itu, YB Yeo Bee Yin mendakwa pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu teknologi dan menyeru supaya kerajaan meluluskan peraturan bersidang dipinda. Beliau mendakwa ianya penting kerana negara-negara maju seperti UK, Kanada, Belgium, Perancis dan banyak lagi telah memilih untuk mengadakan persidangan maya untuk membincangkan isu-isu rakyat.

Advertisement

Tertarik untuk mengupas isu ini! Beberapa hari lepas, Harmoni Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi agar kerajaan melaksanakan fungsi parlimen. Walaupun hujah fungsi parlimen itu hanyalah satu alat untuk membenarkan usul dibahaskan, Harmoni Malaysia juga beria-ia menginginkan ‘check and balance’ di dalam kerajaan dilaksanakan. Perlu dilihat dengan jelas bahawa yang pertama, fahami makna semak dan imbang dalam parlimen.

Semak dan imbang dikategorikan sebagai ‘counterbalance‘ untuk mempengaruhi sebuah organisasi atau sebuah sistem supaya kuasa itu tidak dimonopoli oleh satu pihak atau seseorang individu. Kedua, semak dan imbang juga akan memberi kuasa kepada parlimen untuk menguatkuasa atau ‘amend‘ sesuatu akta atau bajet tahunan kerajaan. Ia penting supaya apa yang dilaksanakan oleh kerajaan bersifat holistik dan menyeluruh agar rakyat mendapat kebaikan apabila kerajaan meluluskan suatu usul.

Adakah ahli parlimen dan kementerian satu sistem kuasa yang sama di Malaysia?

Di Malaysia, ahli kementerian tidak diundi seperti sistem Presidential di Indonesia. Ahli kementerian dikenali sebagai badan eksekutif. Manakala ahli parlimen dikenali sebagai legislatif atau ‘legislature‘ yang diundi oleh rakyat. Rakyat memilih ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ditempat masing-masing. Ini bermakna mereka berautoriti untuk meminda akta dan perlembagaan negara. Di Malaysia, kekuatan untuk meminda akta dan perundangan negara bergantung kepada jumlah majoriti-majoriti dikira dengan jumlah sokongan MP maka kerajaan terbentuk.

Jadi, sistem ‘check and balance‘ yang dipegang oleh pengkaji sains politik adalah keupayaan sebuah sistem itu tidak memonopoli kuasa antara legislatif dan eksekutif. Bukan ‘check and balance‘ di dalam persidangan parlimen. Sebab itulah, sistem parlimen tidak suatu pengkhususan ‘check and balance’ seperti sistem ‘Presidential‘ di Indonesia atau di US.

Sistem ‘Presidential‘ biasanya akan membenarkan rakyat mengundi ahli eksekutif dan ahli legislative. Sebagai contoh, US mengunakan sistem ‘electoral collage‘ dimana, rakyatnya akan mengundi ketua negara atau Presiden untuk ‘House of Representative‘. Oleh sebab itulah US selalu bergaduh bila nak buat ‘endorsement‘ apa-apa akta atau ‘aids‘ kerana eksekutif dan legistatif didominasi oleh satu parti politik. Contohnya, jika tahun ini eksekutif dimonopoli oleh Demokrat, jadi, legislatif akan diduduki oleh Republican. Tak hairanlah ‘survival‘ politik US sangat berbeza dengan Malaysia.

Maknanya, semak dan imbang tidak berlaku didalam sistem Parlimen tapi berlaku di dalam sistem ‘Presidential‘. Sidang parlimen pula hanyalah tempat berbahas usul supaya usul itu dapat dikuatkuasa. Tidak kiralah usul itu dibawa oleh pembangkang atau kerajaan kerana pada akhir mekanisme tersebut, usul yang diterima itu akan dilaksanakan oleh kementerian atau eksekutif.

Penatkan baca tentang sistem parlimen dari segi teori?

Baiklah, jadi kita beralih kepada maksud ‘check and balance’ yang benar-benar dituntut oleh pembangkang (dari segi praktis) dan mereka yang memperjuangkan demokrasi. Saya menyenaraikan pemahaman semak dan imbang yang mereka inginkan:

i. Semak dan imbang dari sudut perbahasan. Di dalam parlimen, selepas perbahasan usul dibacakan, ada sesi soal jawab bersama kerajaan.

ii. Jadi, pembangkang akan dapat menilai ketelusan kerajaan dari segi sumber kewangan dan ke mana wang rakyat itu akan disalurkan.

iii. Kerajaan, pembangkang dan rakyat akan mengetahui setiap pelan tindakan yang telah dikuatkuasakan oleh suatu agensi kementerian.

iv. Hak setiap MP (kerajaan dan pembangkang) untuk mengetahui apa sahaja ‘endorsement‘ yang dilakukan oleh kementerian kerana parlimen berfungsi untuk membahas usul (berbalik kepada fungsi parlimen) dan penilaian prestasi kerajaan akan diperiksa oleh pembangkang.

Jadi, segala apa yang saya sebutkan di atas adalah sebenarnya semak dan imbang versi Malaysia – bukan seperti pemahaman pengkaji sains politik. Ia lebih menitikberatkan berkenaan integriti dan ketelusan kerajaan melaksanakan tugas. Pada hari ini, ia telah dimasukkan sebagai instrumen penting bagi pihak pembangkang untuk menilai gerak kerja kerajaan.

Ditambah pula, segelintir daripada pembangkang masih lagi tidak dapat berlapang dada dengan pertukaran kerajaan PN. Maka, tidak hairanlah jika mereka inginkan persidangan parlimen diadakan dan menuntut perbahasan usul dijalankan untuk memastikan kerajaan baru ini menjaga kebajikan rakyat. Sekaligus menjaga kepercayaan dan mandat rakyat. Baik betul pembangkang negara kita ni. Teruskan usaha anda!

Sebagai kesimpulan kita sebagai rakyat Malaysia yang berbeza mazhab politik dengan negara barat jangan mudah sangat terikut-ikut dengan acuan Barat. We have our own mold. Kita ada Perlembagaan yang perlu dihormati. Benar! Negara kita sekarang ini menggunakan sistem barat iaitu sistem Parlimen. Namun begitu, kita tidaklah 100 peratus mengikut acuan sistem Westminster seperti di United Kingdom.

Lebih molek jika kita menjadikan parlimen untuk berdiskusi hal kebajikan rakyat untuk menyelesaikan isu pasca- COVID-19 dalam jangka pendek ini. Menyelesaikan hal-hal rakyat pasca- COVID-19 menjadi keutamaan semua MP (kerajaan dan pembangkang) demi menjamin kesejahteraan ekonomi dan kebajikan rakyat berbanding berbincang isu ‘number‘ MP sahaja. Rakyat mahukan progress yang mampu menyelamatkan mereka. Molek kiranya, pembangkang menyokong usaha murni kerajaan berbanding mengkritik tanpa solusi yang jelas.

Saya melihat pembangkang selalu bersangka buruk terhadap kerajaan seolah-olah mereka dahulu tidak pernah beralasan kepada rakyat ketika mereka memerintah.

NOR MASITAH ISMAIL
Timbalan Pengerusi 2
Majlis Politik dan Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)- HARAKAHDAILY 30/5/2020