Pasaran modal harus lebih inklusif, diliberalisasikan

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan bahawa ini adalah masa terbaik untuk pasaran modal Malaysia terus diliberalisasikan dan menjadi lebih inklusif. Ini secara langsung akan menyokong usaha pemulihan ekonomi yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

Advertisement

Saraan kami ini adalah setelah meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti (SC)untuk tahun 2019. Berdasarkan laporan tersebut pasaran modal Malaysia terus utuh dan berkembang sihat dalam menyokong aktiviti ekonomi negara. Di dalam perinciannya menyebut bahawa saiz pasaran modal Malaysia terus berkembang kepada RM3.2 trillion yang disumbang oleh sekuriti hutang dan ekuiti. Jumlah dana yang berjaya diraih juga meningkat kepada RM139.4 billion untuk tahun 2019 melalui penerbitan bon dan ekuiti. 

Dengan perkembangan yang memberangsangkan ini kami berpandangan bahawa Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) juga harus mengambil peluang daripada pasaran modal sebagai sumber alternatif untuk mendapatkan dana pemulihan perniagaan mereka. Ini akan menyediakan lebih pilihan kepada PKS selain pasaran kewangan yang juga sedang berada dalam paras optimum sekarang dengan penurunan Kadar Asas Semalaman (OPR), bagi membuat persediaan sumber yang sepatutnya untuk menghadapi lonjakan ekonomi selepas ianya pulih daripada krisis COVID-19 kelak. 

Kelangsungan sektor PKS penting kepada pertumbuhan ekonomi kerana ianya dianggarkan akan menyumbang sebanyak 41 peratus kepada pertumbuhan KDNK negara. Atas asas inilah maka kerajaan juga telah menyediakan inisiatif yang substantif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM100 billion bagi memastikan kelangsungan PKS untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi. 

Menurut laporan SC itu juga, kepesatan pasaran modal ini menyaksikan pengumpulan dana melalui sumber alternatif yang diwujudkan oleh SC iaitu Equity Crowdfunding (ECF)dan Peer-to-Peer (P2P) juga meningkat. Untuk tahun 2019 jumlah dana yang diraih lebih sekali ganda kepada RM443.8 juta daripada RM195.9 juta tahun sebelumnya. Ini menjadikan platfom ECF dan P2P ini berjaya meraih dana terkumpul sebanyak RM706 juta setakat akhir 2019, yang menyediakan dana alternatif kepada 1,943 PKS. 

Kejayaan platfom ECF dan P2P ini bukan sahaja mampu menyediakan sumber dana alternatif kepada PKS malah berjaya menjadikan pasaran modal Malaysia lebih inklusif. Justeru, inisiatif ini harus terus diperkasa agar usaha pemulihan ekonomi melalui sokongan kepada PKS, dapat dilakukan dengan berkesan dan cepat. 

Untuk terus memperkukuh pasaran modal Malaysia, kami juga berpandangan bahawa usaha berterusan harus dilakukan untuk meliberalisasikan pasaran modal Malaysia. Ini bagi memastikan penglibatan pelabur runcit dapat terus diperkasa dan ditingkatkan. Pada waktu ini penglibatan pelabur runcit didalam pasaran modal kekal pada sekitar 20 peratus sahaja. 

Justeru, langkah liberalisasi harus ditingkatkan daripada tahap yang sedia ada. Ini bagi memastikan pelabur runcit juga boleh terlibat dengan lebih aktif, bukan sahaja untuk pasaran ekuiti malah juga di dalam pasaran bon. Kami melihat usaha ini boleh dilakukan dengan kerajaan menjadi pemudahcara untuk pelabur runcit dapat melanggan Malaysian Government Securities (MGS)dengan lebih mudah. Buat masa ini MGS masih lagi satu instrumen yang didominasi pelabur institusi. Walaupun sudah ada platfom yang membolehkan pelabur runcit untuk juga melanggan MGS tetapi jumlahnya masih amat kecil. Antara yang berjadi halangan utama adalah nilai minima langganan daripada setiap pelabur. 

Justeru satu ekosistem yang lebih kondusif diantara semua pihak terlibat iaitu pelabur, bank dan pengeluar bon harus diwujudkan. Kami mencadangkan agar satu kajian dilakukan ke arah mewujudkan model dan kerangka seumpama saham amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB)dapat dilakukan. Kejayaan PNB sebagai platform untuk pelabur runcit melanggan ekuiti di pasaran modal harus dijadikan rujukan agar instrumen bon MGS boleh terus diliberalisasikan.

MAZLI NOOR
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
9 Syawal 1441H
1 Jun 2020- HARAKAHDAILY 1/6/2020