Terima kasih kepada mereka yang menyelamatkan

KUALA LUMPUR: Mangsa yang terselamat daripada lemas selepas kereta yang dinaiki terbabas ke dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Kampung Gajah tempoh hari menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang menyelamatkannya.

Dalam kejadian itu, mangsa iaitu Norsatina Mat Salleh, 18 dan tiga lagi rakannya diselamatkan oleh guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, dan pasangan suami isteri, Amirul Naim Harun, 27, dan Nurul Fazilah Mohd Nazarudin, 27.

Advertisement

Norsatina berkata, ketika diselamatkan dia sedar kehadiran beberapa individu namun gagal mengecam wajah mereka sebelum dibawa ke hospital.

“Ketika kejadian saya tidak sedarkan diri dan dihanyutkan arus deras namun bersyukur Allah hadirkan insan yang sudi membantu kami. Saya dirawat di hospital selama lima hari dan memang mahu berjumpa mereka yang menyelamatkan kami.

“Tanpa ketiga-tiga individu ini saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada kami dan saya menganggap ini adalah peluang kedua untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang dipetik dalam BHTV ketika menziarahi Muhammad Nor Imran dirumahnya di Hutan Melintang.

Hadir sama, tiga lagi rakannya iaitu Nur Ezzhaty Azzwa Halim, Nur Julita Aisyah Ramlee dan Nurul Farhah Hazirah Rosli bersama keluarga masing-masing.

Dalam pertemuan itu, Norsatina turut membuat panggilan video dengan pasangan suami isteri terbabit yang berada di Shah Alam, Selangor.

“Saya bersyukur mereka membantu kami terutama abang Naim yang memberi bantuan pernafasan kepada saya. Saya bukan lagi terhutang budi tetapi terhutang nyawa.

“Apa yang mereka bertiga lakukan tidak akan dilupakan sepanjang hidup ini, hanya Allah yang dapat membalas jasa itu,” katanya.

Sementara itu, Amirul Naim berkata, dia tidak menyangka mangsa dan Muhammad Nor Imran akan mencarinya semula kerana baginya apa yang dilakukan itu ikhlas dan tidak mengharap sebarang balasan.

“Ketika kejadian berlaku saya bersama isteri dalam perjalanan pulang ke rumah di Changkat Lada selepas membuat permohonan rentas negeri untuk pulang ke Shah Alam dan terjumpa seorang mangsa di tepi jalan.

“Selepas mengetahui kejadian itu saya segera ke tebing manakala isteri menenangkan mangsa dan memberi arahan kepada mangsa lain dari atas kerana dia sedang mengandung tiga bulan,” katanya lagi.

Dia dan isteri yang mempunyai sijil bantuan awal pertolongan cemas itu turut mengakui terharu dengan kesungguhan mangsa dan Muhammad Nor Imran yang mencari mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Imran juga terharu dapat bertemu dengan empat mangsa terbabit dan dapat menghubungi pasangan suami isteri itu.

“Kisah ini mungkin sudah tamat tetapi silaturahim antara kami akan terus berkekalan,” kata bapa tunggal kepada seorang anak perempuan itu.- HARAKAHDAILY 9/6/2020