Gembleng STEM untuk majukan Malaysia

SAYA telah menerima kunjungan hormat daripada YB Haji Razman Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak di Putrajaya petang semalam.

Setelah seharian di Bandaraya Kuala Lumpur, berkejar kembali ke Putrajaya. Banyak intipati-intipati yang sempat dibincangkan dalam pertemuan yang singkat semalam.

Antara perkara terawal yang diutarakan oleh YB Haji Razman adalah berkenaan cadangan untuk membangunkan sebuah platform showcase berkaitan dengan ‘Sains dan Teknologi’. Pihak negeri akan menyediakan fasiliti dan berkolaborasi dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membawa pelbagai kajian atau showcase di bawah agensi kementerian itu sendiri.

Advertisement

Selain itu, penguatkuasaan program Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) di kalangan pelajar-pelajar kita. Ini berikutan statistik menunjukkan ramai pelajar kita tidak mahu menyambung pelajaran mereka dalam aliran sains.

Banyak lagi perkara yang dibincangkan dan boleh dijadikan sebagai satu titik tolak permulaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menggembleng tenaga untuk memaju Malaysia menuju negara yang berteknologi tinggi dan berinovasi.

Insya-Allah jika ada kelapangan saya akan turun padang di Perak untuk membalas kunjungan hormat ini.

Saya juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih lanjut mengenai sebuah agensi modal teroka (venture capital) yang diletakkan di bawah MOSTI iaitu Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP).

MAVCAP berperanan untuk menyokong syarikat-syarikat teknologi yang baru mula bertatih di dalam industri dengan menyediakan modal teroka kepada syarikat-syarikat tersebut untuk terus berkembang maju. Pelaburan kepada syarikat startups ini bukanlah pelaburan yang rambang, bahkan potensi setiap syarikat akan dinilai oleh pakar pelaburan di dalam MAVCAP sebelum keputusan diambil untuk membiayai mereka. Kejayaan pelaburan pula dinilai daripada aspek exit strategy iaitu syarikat tersebut berjaya mengapungkan IPO atau pemilikan saham berpindah tangan kepada syarikat yang lebih besar.

Pelaburan oleh MAVCAP ini akan sentiasa dipantau dan dipandu oleh MOSTI untuk memastikan industri sains dan teknologi Malaysia terus melahirkan lebih ramai technopreneur yang berdaya saing di peringkat global.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 17/6/2020