Malaysia-India perkukuh kerjasama industri sawit

PUTRAJAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia bersedia memberi kerjasama khusus dan terus perkukuh kerjasama antarabangsa dalam peluang pemindahan teknologi industri minyak sawit.

Advertisement

Menurut beliau, Negeri Telangana di India menyatakan hasrat untuk memohon bantuan kepakaran negara ini dalam bentuk pemindahan teknologi berkaitan industri sawit yang merangkumi aktiviti pengurusan tanaman sawit, pemprosesan minyak sawit, dan ekosistem industri

“India merupakan pengguna minyak sawit terbesar dunia yang memerlukan 25 juta tan minyak sayuran dan lelemak untuk kegunaan domestik setahun, berhasrat untuk mengimport minyak sawit serta hasil komoditi dari negara ini.

“Peluang ini akan digunakan oleh Malaysia untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke India dengan lebih meluas melalui promosi dan kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama kerajaan negeri Telengana,” katanya dalam telesidang antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beraama Menteri Hal Ehwal Pertanian, Pengguna dan Sivil Telengana, Singireddy Niranjan Reddy.

Selain daripada industri sawit, pihak kerajaan Negeri Telengana juga berminat untuk memulakan penanaman buluh memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai jenis buluh terbaik di dunia.

“KPPK amat mengalu-alukan hasrat tersebut dan bersedia untuk bekerjasama dalam berkongsi kepakaran selain teknologi untuk kepentingan bersama.

“Sebagai cadangan balas, KPPK telah menyampaikan hasrat dan harapan supaya India melalui Telangana dapat mempromosikan minyak sawit negara ini secara lebih meluas sebagai salah satu minyak sayuran yang digunakan dalam makanan di India,” ujarnya.

Selain itu, pihak kementerian juga memaklumkan keinginan untuk mendapatkan bekalan kayu cendana yang merupakan kayu bermutu tinggi di India bagi pembuatan minyak wangi.

Bagi menzahirkan komitmen berkenaan katanya, kedua-dua pihak bersedia untuk bekerjasama khususnya bagi tujuan pemindahan teknologi dalam bidang berkaitan yang akan dikenal pasti dan diperhalusi pada peringkat pegawai.

Tambahnya, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan lawatan teknikal bagi mengukuhkan kerjasama seperti mana yang dihasratkan selepas wabak COVID-19 berakhir.

Bagaimanapun katanya, KPPK sentiasa beriltizam untuk memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha memperkasa dan menjaga kepentingan industri komoditi negara. – HARAKAHDAILY 20/6/2020