Walau ‘simple majority’ tapi sah – Nik Zawawi

KUALA LUMPUR: Kecaman Khalid Abd Samad [PAN-Shah Alam] yang menggelar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianat dan menang dengan majoriti tipis dibidas Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh [PAS-Pasir Puteh].

Menyelar kenyataan Khalid, Nik Zawawi menegaskan bahawa kerajaan PN yang tertubuh sejak Mac tahun ini merupakan sebuah kerajaan sah walaupun melalui majoriti mudah.

Advertisement

Katanya, Khalid sebagai individu yang lebih berusia berbanding dirinya perlu membuka minda yang lebih ke hadapan bersama rakannya Mohamed Hanipa Maidin [PAN-Sepang].

“Penubuhan kerajaan yang ditubuhkan ini adalah kerajaan yang sah walaupun kita memperolehi ‘simple majority’.

“Saya nak ingatkan kepada Shah Alam, kalau kita nak mengejar dua pertiga majoriti, kita bubar Parlimen! Kita bertanding, dan tentunya Shah Alam berada di Shah Alam, bukan berada di dalam Dewan (Dewan Rakyat) ini.

“Shah Alam perlu tunggu dan Shah Alam ingat apa yang saya sebut, dalam sedikit masa lagi, Shah Alam akan tahu di mana tempat duduk Shah Alam,” peringatnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Khalid dalam sesi perbahasan usul mejunjung kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 16/7/2020