Kekalkan jelapang padi, kukuhkan ‘food security’

MADA mahu sumbangan tetap tahunan RM300 juta diberi atas pengorbanan Kedah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman mencadangkan kerajaan untuk menyalurkan imbuhan atau sumbangan tetap tahunan RM300 juta kepada negeri Kedah.

Menurut beliau, imbuhan tambahan itu selari dengan pengorbanan Kedah menjadikan negerinya sebagai Jelapang Padi dan mengurangkan kepesatan pembangunan demi mengekalkan sumber asas pemakanan negara.

Advertisement

Kata Ahli Parlimen Sik itu, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa terhalang dari menambah pendapatan negeri sebanyak RM1.7 bilion.

“Kerajaan Kedah perlu mengekalkan status negeri Jelapang Padi demi kestabilan dan pengukuhan sumber makanan negara, maka kerajaan negeri dengan penuh rasa tanggungjawab akur di atas ketentuan ini.

“Namun atas pengorbanan ini, Kerajaan Negeri Kedah telah kehilangan perolehan dan pendapatan negeri melalui cukai premium tanah sebanyak RM1.7 bilion,” jelasnya.

Martabat Mahkamah Syariah
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman

Justeru itu kata Ahmad Tarmizi, Kerajaan Persekutuan perlu menilai dengan penuh keprihatinan bagi menyalurkan imbuhan atau sumbangan tetap tahunan berjumlah RM300 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah di atas pengorbanan yang diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Inisiatif ini akan membantu Kerajaan Negeri Kedah ke arah pembangunan yang lebih mampan dan maju seiring dengan negeri-negeri lain, ujarnya ketika berucap membahaskan Ucapan Titah Diraja di Parlimen, semalam.

Sejak ratusan tahun, Kedah menjadikan aktiviti ekonomi utamanya sebagai penanaman padi dan telah banyak berbakti kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah menyumbang pengeluaran beras sebanyak 40 peratus dalam negara. – HARAKAHDAILY 24/7/2020