Ahli-ahli meriahkan Majlis Korban PAS Kampar

KAMPAR: PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan Program Korban 2020 yang dilangsungkan dengan jayanya di Kem Al-Falah Kuala Dipang, di sini semalam.

Advertisement

Program bertujuan menyampaikan sumbangan daging korban terutamanya kepada golongan asnaf yang merupakan kelompok paling terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Menerusi program Korban 2020 yang dilaksanakan ini, fokus pengagihan daging tertumpu kepada segmen masyarakat yang terdiri daripada kalangan fakir dan miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

Menurut Pengarah Program Korban PAS Kampar 2020, Dahari Mat Daud, program julung-julung kali peringkat PAS Kampar ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada ahli-ahli PAS atas usaha untuk menjayakan program ini.

Beliau ketika dihubungi menyatakan bahawa pihak panitia program berusaha sedaya-upaya memastikan supaya prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan pihak kerajaan dipatuhi sepanjang program ini berlangsung.

Sebanyak lima ekor lembu sumbangan PAS Negeri Perak telah dikorbankan, di mana kerja-kerja sembelihan, melapah sebelum edaran kepada golongan yang berkenaan telah disempurnakan di kem ini.

Seterusnya, sumbangan daging kepada asnaf-asnaf telah diagihkan  di sekitar Kuala Dipang, Malim Nawar, Gunung Mesah, Gunung Panjang, Air Hitam Labu, Changkat Tin dan Tanjung Tualang.

Hadir sama pada majlis ini adalah Setiausaha PAS Kampar, Ustaz Khairul Alimi Kamarul Hailan. – HARAKAHDAILY 3/8/2020