Tiga DUN serentak laksana Korban Perdana

BUKIT GANTANG: PAS Kawasan Bukit Gantang meneruskan Majlis Korban Perdana pada tahun ini dengan merombak format program dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa.

Advertisement

Namun, program ibadah ini tetap berlangsung dengan semangat pengorbanan agama, menghayati sirah perjuangan keluarga Nabi Ibrahim A.S agar ia menjadi puncak ubudiyyah yang diterima di sisi Allah S.W.T.

Jika sebelum ini program diadakan secara berpusat, namun tahun ini ia diadakan di peringkat DUN dan dilaksanakan secara serentak pada 2 Ogos lalu dengan menghadkan bilangan petugas, mengawal penjarakan fizikal agar memudahkan pemantauan prosedur.

Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, para petugas telah didaftarkan lebih awal dan mereka dipastikan berada dalam keadaan sihat selain diminta memakai pelitup muka sepanjang program tersebut.

“Sebanyak 31 ekor lembu berjaya dikorbankan di mana lima ekor disumbangkan oleh PAS Negeri Perak dan tiga ekor sumbangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal manakala bakinya adalah penyertaan penduduk setempat.

Alhamdulillah, sebanyak 1,800 bungkus daging diagihkan kepada golongan asnaf di 80 kampung seluruh Parlimen Bukit Gantang oleh Jabatan Amal dan wakil-wakil PAS Cawangan.

“Saya bersyukur program ini berjalan lancar walaupun diadakan di tiga lokasi berbeza dan pematuhan SOP yang ketat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sembelihan korban di Pusat Tarbiah PAS Cawangan Sungai Tinggi, Trong.

Di DUN Sepetang, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad diamanahkan untuk menyempurnakan sembelihan korban di Surau Ahmadiah, Sungai Petai manakala Naib Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Rahim Ismail di Surau Ulu Cheh mewakili DUN Changkat Jering. – HARAKAHDAILY 5/8/2020