Muafakat ke arah kukuhkan kerajaan, bela rakyat

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah berjaya mengadakan Majlis Mahabbah Muafakat Nasional bersama Umno Bahagian Lumut di Dewan Komuniti Taman Samudera Perdana, Samudera, di sini semalam.

Advertisement

Yang Dipertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman berkata, program ini diadakan bagi memantapkan dan merapatkan lagi hubungan dua parti di bawah Muafakat Nasional ke arah mengukuhkan kerajaan yang stabil bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Beliau juga menyingkap sirah Nabi Muhammad S.A.W dan para Sahabat R.A yang telah berkorban bukan setakat harta, bahkan nyawa bagi memastikan kemenangan di pihak Islam setelah Nabi S.A.W menyatukan mereka.

Jelasnya, persaudaraan dua kaum yakni Aus dan Khazraj dalam membentuk ukhuwwah seterusnya telah dapat membangunkan kekuatan untuk membina sebuah negara Islam.

Beliau juga dalam ucapan itu menyeru kepada semua pimpinan dan ahli PAS serta Umno supaya terus bekerja memberi penerangan kepada ahli-ahli serta rakyat berkaitan maklumat serta isu-isu semasa.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid dan Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan bersama keseluruhan ahli jawatankuasa. – HARAKAHDAILY 3/8/2020