Muslimat Parit serah derma kebakaran Maahad

PARIT: Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit telah mengadakan lawatan ke asrama Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, Lambor Kanan yang terlibat dalam sebuah kebakaran pada 30 Julai lalu, di sini kelmarin.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, setelah pihaknya dimaklumkan mengenai insiden itu, kutipan derma kilat telah segera dilancarkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Parit.

“Kejadian kebakaran (yang) menimpa Maahad Tahfiz Lambor Kanan pada 30 Julai lalu menggamit rasa keprihatinan Muslimat PAS Parit. Kami dimaklumkan kebakaran itu (telah) mengakibatkan kerosakan di bahagian asrama, dewan, stor dan juga bilik kuliah, namun alhamdulillah tiada kemalangan jiwa,” jelas beliau.

Susulan insiden itu, LKK Muslimat PAS Parit telah melancarkan derma kilat dan serahan sumbangan terkumpul berjumlah RM5,000 telah disampaikan kepada Ketua Pelajar Maahad Tahfiz tersebut, Muhammad Ikram Fairuznozi,

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin juga telah meninjau pusat tahfiz itu dan peruntukan khas sebanyak RM50,000 telah diserahkan bagi kerja-kerja membaik pulih Maahad Tahfiz berkenaan.

Turut hadir dalam program itu Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Parit, Ani Harun. – HARAKAHDAILY 5/8/2020