PAS kini semakin teguh dan kuat – Presiden

KUALA NERUS: PAS yang ditubuhkan atas kewajipan islah dan tajdid, kini semakin teguh, kukuh dan kuat, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Katanya, PAS tidak ditubuhkan dengan sebab kenegerian dan kebangsaan walaupun adanya negeri dan bangsa, sebaliknya menyambung kewajipan dakwah Islam.

Beliau menyatakan perkara itu dalam Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

“Dan politiknya berqudwahkan Rasulullah S.A.W yang tidak mati perjuangannya dengan kewafatan baginda. PAS bukan cabang yang dipatahkan, dan dipotong daripada mana-mana parti atau jamaah atau kumpulan.

“(Tidak) laksana ranting atau dahan yang dipatah, dipacak ke tanah tanpa akar umbinya. (Tetapi) Akar umbi organisasi PAS berasaskan akidah perjuangan yang panjang, demi mendapat keredhaan Allah S.W.T.

“Walaupun jauhnya perjalanan daripada dunia sehingga akhirat. (Ini) Berbeza dengan hanya teori atau idealogi impian manusia mengejar cita-cita yang difikirkan. Hanya berwawasan kehidupan dunia sementara waktu sahaja,” ujarnya.

Tegas beliau, perjuangan PAS adalah untuk mendaulatkan kalimah Allah yang Maha Mulia di atas muka bumi dengan menjadikan Islam itu tertinggi memerintah, bukannya diperintah.

Jelas beliau, Cahaya-Nya tidak boleh dipadamkan walaupun negara dihilangkan dan parti dikalah ataupun diharamkan, tetapi umat manusia dibela mengikut tahap kemampuan sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.

Menurut beliau juga, PAS paling berpengalaman di mana pernah kehilangan pemimpin kerana mati, atau ditahan ISA, atau melarikan diri atau kalah pilihan raya.

Bahkan ujarnya, pernah diharamkan slogan Allah Muhammad, serta simbol bulan bintang yang menjadi lambang khilafah, namun tetap bertambah ahli dan penyokongnya.

Malah PAS juga kata Ahli Parlimen Marang itu, berkembang Cawangannya ke seluruh pelusuk tanak air, termasuk menyeberangi laut ke Sabah dan Sarawak sehingga ke luar negara.

“Di Makkah pun pernah ditubuh cawangan PAS. Kita dengar di Ireland, ada wakil kita. PAS hanya belum menang, tidak kalah. PAS hanya belum menang, kerana terus berjuang tidak pernah berhenti mengaku kalah.

“Hanya ada kalangan manusia yang menyerah kalah atau mengaku kalah kerana tidak beristiqamah bersama PAS. Apabila menghadapi cabaran yang tidak tertanggung oleh dirinya. Kerana penyakit gila pangkat.

“Dengan PAS tak dapat (pangkat), meninggalkan PAS. Tak ada penyakit gila pangkat di dalam parti kita. Perjuangan kerana mahu menjadi ketua tidak ada diajar oleh Nabi S.A.W,” terangnya memetik dua hadis berkaitan.

Menurut Tuan Guru, terdapat juga yang meninggalkan PAS kerana menyerah kalah, lemah tersungkur di tengah jalan, atau terlalu semangat sehingga patah semangat di tengah jalan.

Namun jelasnya, ada mereka yang terus bersama PAS kerana perjuangan Islamnya sehingga akhir hayat kerana percaya kepada janji Allah dan tetap ada pelapis meneruskan perjuangan sebagaimana ayat 23 dan 24 surah al-Ahzab.

PAS tegas beliau, malah tetap memilih pendekatan Muwajahah Silmiyah yakni pendekatan damai mengikut konsep demokrasi, walaupun ada tempangan dan kelemahan dalam amalan tersebut.

Beliau terdahulu mengemuka hujahnya itu dengan menyatakan bahawa Kelantan dan Terengganu terus berada dalam Malaysia walaupun dikepung dan dibelasah sejak tahun 1959 ketika PAS memerintah.

Imbaunya, Terengganu dijatuhkan tahun 1961 dan memerintah semula 1999 sebelum dijatuhkan tahun 2004 dan kini kali ketiga kembali memerintah.

Manakala Kelantan terangnya, memerintah tahun 1959 hingga tahun 1978, sebelum dirampas secara pengisytiharan darurat setelah diluluskan di Parlimen dengan menggunakan lesen demokrasi yang disalahgunakan.

Namun ujarnya, menang kali kedua tahun 1990 dan terus memerintah sehingga kini di mana paling penting terus berada dalam Malaysia tanpa pernah menuntut untuk merdeka daripada Kerajaan Pusat.

Utaranya, walaupun dibelasah dan dinafikan hak, tidak pernah ada suara yang berbunyi di Kelantan dan Terengganu untuk minta keluar dari Persekutuan Malaysia.

Sedangkan menurut beliau, negeri lain walaupun diberi royalti, tetapi Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia dan Brunei tidak mahu menyertai Malaysia ketika ia ditubuhkan.

“Ternyata pendekatan oleh kalangan yang gopoh dan kononnya tinggi semangatnya, (telah) mencetuskan konflik dalaman sehingga mengundang campur tangan asing, campur tangan musuh yang sentiasa menunggu peluang daripada setiap penjuru.

“Kini menunjukkan PAS teguh dan semakin kuat. Bukan hanya pengikut atau mengikut kepada perhitungan Pilihan Raya Umum, tetapi lebih daripada ini,” hurai beliau mengaitkan perkara itu dengan perumpamaan pada ayat 24 hingga 27 surah Ibrahim.

Terang beliau, para ulamak tafsir menegaskan bahawa kalimah yang baik itu ialah kalimah Tauhid dengan menolak syirik segala bentuk rupa dan pendekatannya.

Manakala pokok itu nyata beliau, ialah orang-orang beriman kepada Allah dan akar umbinya ialah keimanan atau akidah perjuangannya yang ditanam ke dalam hati sanubarinya.

Sedang sentiasa berbuah pula katanya, ialah amal soleh yang diterjemahkan dalam kehidupan dan perjuangan seseorang itu bersama dengan Islam.

“Kita menyaksikan kebenaran mukjizat ilmu al-Quran. Betapa semua kumpulan yang melarikan diri daripada jamaah Islam yang asal, laksana ranting patah yang dipacak ke bumi.

“Hanya menghijau beberapa hari sahaja. Selepasnya mati kering, daunnya gugur dan hancur lebur ditelan zaman. Hanya menjadi tempat berteduh sementara waktu,” kemuka beliau. – HARAKAHDAILY 16/9/2018