ECRL dibatal dera penduduk Pantai Timur

KUALA LUMPUR: Pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dimuktamadkan Kabinet merupakan tindakan selari untuk terus mendera rakyat Pantai Timur.

Advertisement

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, ianya sebagaimana juga tindakan Kerajaan Pusat menyaman Kerajaan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Juga bidasnya, tindakan kerajaan diterajui PH itu juga sepertimana usaha mereka melambat-lambatkan pembayaran royalti kepada Kerajaan Kelantan.

Tempelaknya, ketika projek yang boleh memberi manfaat besar kepada negeri-negeri Pantai Timur itu dibatalkan, Kerajaan Pusat boleh pula melaksanakan semula projek lama dan berulang.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan merujuk projek Jambatan Bengkok antara Malaysia dan Singapura serta projek mega Kereta Nasional Ketiga.

“Kenapa kerajaan sebelum ini iaitu Umno-BN yang dikatakan rasuah dan salah guna kuasa serta membazir, tetapi boleh buat projek ECRL ini? Malah, dah dimulakan pun pelaksanaan projek ini.

“Tiba-tiba kerajaan baru yang mengaku bersih, tiada rasuah, tiada salah guna kuasa, tetapi tidak cukup duit. Maknanya kerajaan yang membazir dan rasuah dapat kumpulkan lebih banyak duit untuk kebajikan rakyat?” persoal beliau. – HARAKAHDAILY 26/1/2019