Lebih 350 sertai PAS di Jeli

WhatsApp Image 2017 03 18 at 9.02.41 AM

MALAM tadi seramai 351 lagi, sebahagian besar daripadanya anak muda di Jeli memilih PAS sebagai wadah perjuangan mereka, selepas bosan dengan kebobrokan Umno.

Advertisement

Mereka yang hadir pada program ceramah di Dataran Ilmu mengisi borang menyertai PAS. Sebahagian lagi hasil gerak kerja di Dun Air Lanas, Dun Bukit Bunga dan Kuala Balah.

Borang tersebut diserah Naib Yang Dipertua Pas Jeli Ahmad Hamid kepada Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama pada program itu Ketua Muslimah PAS Negeri Siti Zailah Mohd Yusof, Yang Dipertua PAS Jeli Mohd Apandi Muhamad, timbalannya Datuk Abdullah Yakub dan Ketua AMK Dr Hafidz Rizal Amran.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata berdasar perkembangan yang berlaku sekarang tidak dapat dinafikan ada potensi PAS kembali semula menguasai Jeli.

“Sekiranya PAS dapat menguasai Jeli maka lebih mudah untuk kita mendekati Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya pada ceramah tersebut.

Jeli merupakan kubu Umno sejak dahulu lagi, memandang sebelum ini parlimen terbabit sebahagian daripada Gua Musang.

Pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah juga melebar ke kawasan terbabit, sama seperti Gua Musang.

Selain itu terdapat dua kem tentera yang menjadi faktor Jeli kekal di bawah Umno kecuali PRU 1999.

Bagaimanapun situasi yang berlaku sekarang agak berbeza apabila sebahagian veteran Umno memilih PPBM sebagai wadah baharu mereka.

Difahamkan sehingga sekarang hampir 2,000 ahli parti baharu itu didaftarkan di Jeli. Manakala Pan pula tidak berpengaruh di situ.

Mohd Apandi berkata perkembangan yang berlaku hari ini memberi kelebihan kepada PAS dan PKR bertapak semula di parlimen Jeli.

Katanya fokus utama gerak kerja untuk menguasai semula Dun Air Lanas yang hanya dimenangi Umno dengan kelebihan 47 undi pada PRU lepas.

“Sekarang sudah fasa kedua gerak kerja pilihan raya yang kita gemblingkan di Jeli,” katanya ketika ditemui selepas itu. – HARAKAHDAILY 18/3/2017