Tubuh yayasan kumpul dana untuk pelajar miskin

AHLI Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin mencadangkan kerajaan mewujudkan satu yayasan untuk mengumpul dana bagi menaja pelajar miskin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Advertisement

Beliau berkata, yayasan ini dianggotai oleh gabungan orang kaya di dalam negara sebagaimana ia telah dilakukan oleh masyarakat Tionghoa bagi membantu pelajar-pelajar miskin dalam kalangan mereka mendapatkan pendidikan.

“Dalam keadaan kegawatan ekonomi hari ini adakah kerajaan berfikir seperti cara kaum Tionghoa iaitu mengadakan yayasan untuk mengumpul kewangan untuk taja pelajar-pelajar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Devamy.

Menurut Izani, keperluan untuk pelajar miskin melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan mendapat tempat di beberapa universiti terkemuka, perlulah ditambah dari semasa ke semasa.

Di dalam soalan asal, Izani meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pelajar Malaysia di United Kingdom dan adakah Kerajaan berhasrat menghentikan penghantaran pelajar ke sana pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri dalam jawapannya menegaskan kerajaan telah melaksanakan cadangan itu dengan pembabitan beberapa syarikat korporat antaranya Sime Darby bagi menaja pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran seperti di dalam bidang kejuruteraan. – HARAKAHDAILY 5/4/2017