Keluarga Nhaveen terima kunjungan Ustaz Nasrudin

PERASAAN duka anggota keluarga mangsa buli, Nhaveen Thirumaran, 18 tahun yang disahkan meninggal dunia kelmarin turut dikongsikan kepada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan.

Advertisement

Harapan mereka untuk melihat mendiang kembali pulih berakhir setelah 6 hari Nhaveen menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Ibunya, Shanti Dorairaj nyata tidak bermaya dan tidak mampu mengungkap sebarang kata kehilangan anak sulung dari dua beradik itu.

Dimaklumkan oleh pihak keluarga, mendiang sepatutnya mendaftarkan diri di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

Ustaz Nasrudin dalam titipan ringkasnya kepada pihak keluarga melahirkan rasa simpati yang amat mendalam terhadap kejadian menimpa ketika berkunjung ke rumah mangsa di Taman Tun Sardon, di sini malam tadi.

Beliau turut memaklumkan bahawa PAS mengikuti perkembangan kes tersebut dari masa ke masa dan sedia menghulur tindakan sewajarnya.

Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden yang turut hadir melahirkan rasa terkilannya dengan gejala buli.

Katanya, Islam mengajar penganutnya untuk berkongsi perasaan dan simpati terhadap sesiapa sahaja yang diuji dengan kematian, bencana dan seumpamanya.

Nhaveen meninggal dunia kelmarin setelah menerima rawatan sejak Sabtu minggu lalu dan disahkan akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kes bunuh dan telah menghadapkan para suspek ke pendakwaan mahkamah. – HARAKAHDAILY 18/6/2017

NhaveenN 2