Lambaian Kaabah: Arafah, Mina kemuncak ibadat haji

DETIK ditunggu 30,200 jemaah haji Malaysia untuk menyertai acara kemuncak haji, Wukuf di Padang Arafah kini bermula. Biarpun wukuf berlangsung esok namun hari ini jemaah sudah bergerak ke Padang Arafah.

Advertisement

Arafah terletak hampir 25 kilometer dari Masjidil Haram. Namun hendak sampai ke sana terpaksa merempuh berjam-jam perjalanan.

Pengalaman dilalui penulis tahun lepas membuktikan situasi itu. Sebelum bergerak ke Arafah, jemaah perlu bersiap memakai ihram di bilik hotel.

Jemaah juga perlu membawa pakaian biasa dan sedikit keperluan diri sepanjang lima malam berada di Arafah dan Mina.

Beg kuning dibekalkan Tabung Haji (TH). Ada juga membawa makanan ringan sebagai bekal. Penulis dan rakan jemaah juga membawa bekalan roti sebagai alas perut.

Jemaah di Hotel Land Premium dipanggil mengikut tingkat hotel. Ia bertujuan untuk mengelakkan kesesakan di lobi hotel dan lif.

Gelisah dan resah turut dirasai penulis. Sehinggakan agak kurang berselera ketika menjamah makanan selepas solat Zohor.

Di hadapan hotel situasi agak kelam kabut. Sejak pagi lagi ketika kembali dari solat Subuh di Masjidil Haram penulis melihat ramai jemaah dari negara lain sudah bergerak ke Arafah.

Deretan bas boleh dilihat di hadapan hotel di sepanjang laluan ke Masjidil Haram. Kenderaan bersimpang siul di jalan raya.

Penulis dan rakan-rakan juga dilanda ombak debar. Kita belum pernah merasai apa yang bakal berlaku di Arafah, Muzdalifah dan Mina nanti.

Ketika kursus haji sebelum berangkat ke Makkah petugas TH sering memberitahu suhu boleh meningkat sehingga 45 Celcius di Arafah. Malah boleh mencecah 50 Celcius.

Selepas kumpulan jemaah di tingkat penulis dipanggil, kami beratur menaiki lif untuk turun ke lobi hotel. Kesesakan berlaku kerana ramai yang sudah menunggu di situ.

Kami diberi kad yang tertera nombor bas. Malah nombor khemah di Arafah dan Mina juga sudah dibekal awal lagi. Petugas TH memastikan tiada jemaah yang tertinggal di hotel. Mereka yang uzur juga diangkut ke Arafah.

Tanpa hadir ke Arafah ibadat haji tidak sempurna. Deretan bas masih banyak di kiri kanan jalan di hadapan hotel Land Premium.

Bas bergerak ke Arafah ketika senja bertandang. Ketika itu kami bertalbiah beramai-ramai.  

Bas dinaiki penulis biarpun ada penghawa dingin namun suhunya kurang dirasai. Ramai yang asyik mengibar-ngibas. Cabaran pertama mulai dirasai.

Sepanjang perjalanan ke Arafah kelihatan kenderaan sesak di semua arah. Bas kami kadang-kadang melencong ke jalan lain kerana banyak laluan utama ditutup.

Ketika azan Maghrib berkumandang, kami masih lagi berada dalam bas. Debar untuk merasai suasana Padang Arafah semakin kencang. Ramai yang bimbang takut bas kami tersesat ke tempat lain. Pemandunya orang Arab.

Padang Arafah

Semasa melewati Arafah sudah kelihatan puluhan ribu khemah-khemah disediakan pihak muasasah. Kebimbangan kami mulai terelai. Akhirnya kelihatan bendera Malaysia.

Selepas bas berhenti kami turun dan mencari beg kuning. Warna serupa menyebabkan ramai yang tertukar. Nasib baik penulis menulis nama sejak di hotel lagi di kulit beg.

Petugas TH sedia menunggu dan mengarahkan kami bergerak ke khemah mengikut nombor ditetapkan. Khemah di Arafah ditetap mengikut negara. Di seberang jalan pula jemaah dari negara lain. Arafah sekarang bukan lagi macam dahulu kering kontang tanpa pokok.

Sekarang pokok yang ditanam semakin besar. Khemah besar yang boleh memuatkan 10 orang dipasang di bawah pokok.

Di dalam khemah dipasang karpet untuk tempat solat, baring dan makan. Luasnya sekadar saiz sejadah. Kami diatur berbaris-baris di situ. Kebetulan ruang tempat penulis ada akar pokok yang agak besar.

Apapun Alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Biarpun ada kipas besar disediakan di setiap khemah, namun suhu begitu membahang. Makanan dibekalkan petugas muasassah ke setiap khemah.

Ribuan jemaah di situ terpaksa berkongsi satu bangunan tandas dua tingkat. Masalah yang biasa dialami terpaksa menahan hendak buat air kencing. Jauh sekali hendak fikir soal mandi.

Ketika itu kami masih lagi berihram. Apabila ke tandas terpaksa ditukar sarung tanpa jahit dan mengenakan tuala. Beratur panjang dengan seribu ragam manusia perlu setiap jemaah haji hadapi. Resepinya sabar dan tabah.

Biarpun begitu Alhamdulillah penulis sempat juga membasah badan. Terpaksa bangun jam 3 pagi ke tandas. Wuduk sepanjang berasa di situ lebih banyak menggunakan spray.

Solat beramai-ramai dalam khemah. Benarlah sebagaimana firman Allah SWT surah Al-Tabarani yang bermaksud, “Hamba-hambaku, mereka datang kepadaku dengan kusut masai dari segenap penjuru mengharapkan syurgaku”.

Keesokan harinya selepas tergelincir matahari pada 9 Zulhijjah bermulalah waktu wukuf. Ia berlanjutan sehingga fajar 10 Zulhijjah. Selepas solat Zohor diadakan khutbah Arafah. Di detik itu mustajab berdoa, berzikir dan bermunajat kepada Allah Taala.

Di khemah kami tidak kelihatan Jabal Rahmah. Entah di posisi mana kedudukannya. Biarpun jemaah negara lain memenuhi sekitar bukit itu, jemaah Malaysia hanya berada di khemah.  

Mabit di Muzdalifah

Selepas dua malam berada di Arafah kami perlu bergerak pula ke Muzdalifah. Selepas solat Maghrib dan Isya kami bersiap. Petugas muasasah dan TH memanggil mengikut khemah untuk menaiki bas pada malam 10 Zulhijjah.

Apa yang pasti suami isteri perlu menaiki bas bersama. Tidak lama kemudian kami sampai di Muzdalifah kira-kira jam 11 malam. Kawasannya begitu luas, namun berpagar mengikut negara.

Di situ kami mengutip 70 anak batu dalam samar-samar cahaya lampu. Di jalan utama kelihatan ribuan jemaah haji berjalan kaki ke Mina.

Kami bermabit di situ sehingga awal pagi. Ada yang terlelap di atas hamparan tikar kerana dua malam tidur tidak menentu.

Di situ ada ketika bau tahi unta dan kambing kadang-kadang meliwati hidung.

Selepas setengah malam berada mabit di situ, sekali lagi kami menaiki bas ke Mina pula.

Mina

Sampai di Mina hampir Subuh. Keletihan membuatkan ramai jemaah terlelap.

Khemah agak besar boleh memuatkan sehingga 20 orang. Ruang bagi setiap jemaah lebih luas saiznya berbanding di Arafah.

Kami berada di Mina pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Selepas solat Subuh sudah ada jemaah haji yang bergerak untuk melontar di Jumrah Kubra.

Ibadat melontar sekali mengocak debar penulis dan jemaah lain. Untuk sampai ke kompleks Jumrah dari khemah Muassim terpaksa merempuh perjalanan sejauh 3.5 km.

Kami terpaksa berjalan kaki melalui dua terowong sebelum memasuki tingkat tiga kompleks Jumrah.

Kami memilih selepas Zohor untuk melontar Jumrah Kubra dengan berihram. Sepanjang perjalanan itu kami bersesak-sesak di celah-celah lautan manusia.

Rempuhan jemaah yang berlaku sebelum ini terbayang di mata. Ramai yang menjadi mangsa.

Biarpun ada jemaah lain memilih sebelah petang, namun kami ghairah bagi menyempurnakan ibadat melontar untuk membolehkan tahlul awal.

Di jamrah kami membaling batu sekuat hati bagi merejam syaitan. Ayunan batu kecil melepasi kepala ribuan jemaah lain. Selepas itu kami bergunting. Ribuan kesyukuran kami panjatkan kerana dapat sempurnakan sebahagian rukun dan wajib haji.

Kami berulang alik 7 km bagi melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Sughra, Wusta dan Kubra. Berulang alik setiap hari memerlukan semangat dan stamina tinggi. Ada yang kejang urat betis di tengah jalan.

Berada di Mina selama empat hari juga perlu kesabaran tinggi. Beratur panjang untuk memasuki tandas sudah menjadi kelaziman.

Pada pagi 13 Zulhijjah sebelum solat Subuh kami keluar melontar untuk kali terakhir. Solat Subuh di kawasan kompleks Jamrah.

Selepas kembali ke khemah di muassim jemaah perlu bersiap untuk kembali ke Makkah bagi menyempurnakan ibadat tawaf dan saei.

Selepas selesai menunaikan tawaf dan saie maka sempurnalah sudah ibadat haji. Selepas itu bermulalah penerbangan pertama pertama sehingga akhir jemaah haji untuk kembali ke tanah air.

Semoga jemaah haji mendapat haji mabrul. Amin. – HARAKAHDAILY 30/8/2017

Padang Arafah wukuf

Padang Arafah khemah Malaysia

mabit di Muzdalifah

laluan ke kompleks jamrah

laluan ke Jamrah

Jabatan Rahmah Arafah 2