Hasrat belanja berhemah hanya pemanis bajet

ALOR SETAR: Kerajaan negeri disaran merealisasikan cita-cita untuk mewujudkan belanja berhemah dan jimat cermat sepertimana yang disebut di dalam Bajet Kedah 2018.
 
Perkara berkenaan disentuh oleh Ustaz Ahmad Yahaya (Alor Mengkudu-PAS) memandangkan realiti kepada pelaksanaan tersebut dilihat seolah-olah sekadar janji manis terhadap rakyat. 
 
“Cita-cita kerajaan negeri hendak mewujudkan belanja berhemah dan berjimat cermat tidak berlaku. Sebagai contoh, projek pembinaan jalan baru Lencongan Timur dari persimpangan Alor Mengkudu ke persimpangan Jalan Tun Razak. 
 
“(Ia) dilihat seperti ‘projek sakit’ di mana peruntukan asalnya berjumlah RM89,894,788.18 meningkat sehingga RM176,459,046.00 apabila projek berkenaan tidak siap mengikut jadual asal,” ujar beliau.
 
Tambahnya lagi, kegagalan projek berkenaan siap mengikut jadual berpunca dari kelemahan kontraktor di mana akhirnya kerajaan negeri terpaksa menanggung risiko tambahan peruntukan.
 
Sehubungan itu, insiden berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana projek yang menelan belanja sebegitu besar diserahkan kepada kontraktor yang tidak mampu mengikuti syarat dikehendaki.
 
Selain itu, beliau turut menyentuh berkenaan Taman Perumahan di Tajar melibatkan 100 unit rumah untuk dijadikan kuaters guru, namun tidak dimanfaatkan sehingga sekarang.
 
“Walaupun itu Bajet Pusat, namun ia berada di dalam negeri Kedah. 100 unit rumah itu tidak diduduki dan sekarang rosak begitu sahaja di mana jelas memperlihatkan pembaziran yang nyata di depan mata,” bidas beliau.
 
Justeru itu kata beliau, andai keadaan sebegitu terus diamalkan, tidak mungkin perbelanjaan berhemah dan jimat cermat dapat dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 14/11/2017
Advertisement