Pembangunan luar bandar masih ketinggalan

BAGAN SERAI: Masyarakat luar bandar masih ketinggalan dari menerima kemudahan pembangunan, sedangkan kerajaan memerintah bersikap membawa kebajikan pada musim tertentu terutama menjelang pilihan raya.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, rakyat layak menikmati segala kemudahan dijanjikan kerajaan termasuk mereka yang tinggal di luar bandar kerana itu merupakan tanggungjawab pemerintah dipilih.
 
“Dalam situasi ekonomi semasa negara yang tidak menentu, masyarakat luar bandar terpinggir kebiasaannya. Bahkan terasing di negara sendiri. Begitu juga peluang pekerjaan bagi golongan muda yang terbatas.
 
“Malah, tiada pembangunan modal insan diusahakan pihak kerajaaan. (Maka) PAS terus berusaha menyantuni masyarakat setempat, serta mengambil peluang mendengar pandangan dan harapan mereka,” ujarnya pada ziarah bersama PAS Kawasan Bagan Serai di Kampung Pandak Puteh, di sini semalam.
 
Kerajaan gesanya, perlu memberi perhatian kepada penyediaan kemudahan awam seperti hentian bas di bahu jalan utama yang lebih selamat untuk kegunaan masyarakat setempat.
 
Begitu juga lontarnya, Pejabat Pos dengan kiosk-kiosk untuk kemudahan urusan masyarakat setempat menguruskan pembayaran bil dan utiliti mesti disediakan tanpa perlu ke pusat bandar.
 
Razman juga mempersoalkan mengenai Maktab Rendah Sains Mara yang pernah dijanjikan oleh kerajaan untuk dibina di situ, namun hingga kini tidak menampakkan hasil.
 
“Biarpun pelbagai pembangunan luar bandar di Bagan Serai telah diusahakan, tetapi ianya tidak seimbang dengan pembangunan bandar. Malah, jauh berbeza sedangkan cukai dibayar oleh semua seperti GST.
 
“(Soalnya) Bagaimana peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat dan kementerian dimanfaatkan sebaik mungkin untuk penduduk?
 
“(Kerana) Kemudahan awam yang asas bagi penduduk pun masih tidak diberi perhatian sebaiknya walaupun negara sudah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan,” kesalinya.
 
Razman juga menegaskan, PAS melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) berusaha merangka plan pembangunan insan dan fizikal menyeluruh berdasarkan penyelesaian Islam, justeru optimis mampu menarik keyakinan rakyat untuk bersama pada PRU akan datang. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
Advertisement